Kepimpinan UMNO Kota Kinabalu Kekal Setia Teruskan Perjuangan Parti

KOTA KINABALU, 8 Jan – Kepimpinan UMNO Bahagian Kota Kinabalu menegaskan komitmen untuk terus setia dan istiqamah meneruskan perjuangan parti demi kepentingan ahli serta masyarakat setempat, seiring dengan cabaran politik semasa dan mendatang.

Ketuanya, Musliati Moslimin berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Kinabalu yang pertama bagi tahun 2026, yang turut mencatat sejarah tersendiri apabila diadakan di premis baharu UMNO bahagian tersebut.

Menurut beliau, sebelum mesyuarat bermula, satu Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin telah diadakan bagi memperingati Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sempena genap sebulan pemergian beliau, selain doa selamat sempena memasuki pejabat baharu sebagai simbol harapan dan permulaan yang diberkati.

“Insya-Allah, kepimpinan UMNO Bahagian Kota Kinabalu akan terus berkhidmat membantu ahli dan rakyat setempat mengikut kemampuan yang ada, dengan menjadikan segala pengalaman lalu sebagai pengajaran dan panduan untuk memperkukuhkan perjuangan parti,” katanya.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan persiapan UMNO Bahagian Kota Kinabalu sebagai Bahagian Angkat bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan, selain persediaan menghadapi Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Dalam masa sama, kepimpinan bahagian turut menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan DatukJafry Ariffin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Datuk Hasnol Ayub sebagai Timbalannya yang baharu.

Musliati menegaskan, segala cabaran yang dilalui akan dijadikan kekuatan untuk memperbaiki kelemahan dan memperkukuhkan kesatuan dalaman parti.

“Semoga tahun 2026 terus membawa sinar kebaikan dan menguatkan lagi iltizam kita untuk kekal setia dalam perjuangan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO