Pelaburan Strategik Air Bawah Tanah Perkukuh Ekonomi Pahang

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Satu lagi pelaburan strategik berjaya direalisasikan di Negeri Pahang menerusi Majlis Pecah Tanah Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah oleh Bubbles O2 Sdn Bhd di atas tanah milik Yayasan Pahang yang terletak di Gambang.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan keyakinan berterusan para pelabur terhadap kestabilan dasar, kecekapan tadbir urus serta keupayaan Kerajaan Negeri Pahang dalam merancang dan mengurus pembangunan ekonomi secara tersusun, berfokus dan berimpak tinggi.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang kekal komited untuk memacu pembangunan ekonomi yang mampan dan bernilai tinggi, di samping memastikan setiap pelaburan yang direalisasikan memberikan pulangan jelas kepada negeri serta manfaat langsung kepada rakyat.

“Usaha ini selari dengan Aspirasi Pahang 1st yang menekankan kesejahteraan rakyat, daya saing ekonomi dan kemakmuran jangka panjang negeri,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa projek tersebut bukan sahaja berpotensi merancakkan ekosistem industri sokongan di peringkat setempat, malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Wan Rosdy merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yayasan Pahang, Bubbles O2 Sdn Bhd, Invest Pahang serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama padu dalam memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan dengan jayanya.

“Semoga projek ini terus membawa manfaat besar kepada Negeri Pahang dan rakyat keseluruhannya,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO