‘Kekal Tenang, Berhemah Hadapi Situasi Politik Semasa’
KUALA LUMPUR, 7 Jan – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah menyeru agar semua pihak dalam parti kekal tenang dan berhemah dalam menghadapi situasi politik semasa.
Beliau menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan harus disuarakan dengan tertib tanpa menyerang atau menghina mana-mana individu dalam parti, lebih-lebih lagi di saat UMNO sedang berusaha memperkukuh kedudukan dalam landskap politik negara.
“Dalam situasi semasa, semua ahli dan pimpinan parti seharusnya kekal tenang dan berhemah, tanpa perlu menyerang, memaki atau menghina mana-mana pihak.
“Jawatan Presiden UMNO dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bukanlah amanah yang ringan, dan setiap keputusan yang dibuat membawa implikasi besar kepada masa depan parti.
“Hakikatnya Ketua Pemuda bersuara dikatakan melawan, Ketua Pemuda berdiam diri pula dikatakan lemah dan dikawal.
“Begitu juga Presiden bila berdiam diri dikatakan takut, bila bersuara dikatakan diktator,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Armand menambah, budaya saling menuding jari serta berlumba mencari kesalahan sesama sendiri bukanlah jalan terbaik untuk memperkukuh parti, sebaliknya hanya melemahkan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
Justeru, beliau menyeru agar semua pihak dalam parti kembali kepada asas perjuangan, iaitu memperjuangkan nasib rakyat dan mempertahankan kekuatan parti secara kolektif.
“Inilah realiti politik yang sedang kita hadapi saling menuding jari dan berlumba mencari kesalahan. Persoalannya, adakah budaya serangan terbuka dan makian ini menguatkan UMNO di mata rakyat, atau sebaliknya?
“Oleh itu, saya konsisten menyeru semua pihak supaya bertenang. Berikan ruang kepada Presiden, Majlis Tertinggi UMNO dan kepimpinan parti untuk berbincang secara matang dan mencari penyelesaian terbaik demi masa depan UMNO.
“Saya yakin setiap pemimpin yang diberi amanah dalam parti ini mempunyai satu matlamat yang sama melihat UMNO kembali kuat, bersatu dan menjadi pilihan rakyat Malaysia. Tiada siapa yang mahu melihat UMNO hancur,” katanya.
Tegas beliau lagi, kekal tenang dan rasional adalah langkah paling bijak dalam menghadapi cabaran politik.
“Berikan kepercayaan kepada kepimpinan dan biarlah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan datang menjadi medan menentukan hala tuju UMNO yang lebih baik,” ujar beliau. – UMNO Online
