Gerak Kerja Wanita UMNO Segamat Diperkasa, Ziarah Rakyat Eratkan Silaturahim
SEGAMAT, 7 Jan – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim telah mengadakan perjumpaan bersama PR10 PDM Spang Loi bagi menerima laporan serta kemas kini berkaitan gerak kerja Wanita PDM tersebut dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut Norshida, pertemuan seumpama ini amat penting bagi memastikan gerak kerja Wanita PDM dapat disusun dengan lebih terancang, tersusun dan efektif, sejajar dengan keperluan menghadapi PRU yang menuntut kesiapsiagaan menyeluruh daripada semua jentera parti.
“Kerjasama erat antara Wanita Bahagian dan PDM akan terus diperkukuhkan demi memastikan kesiapsiagaan jentera wanita berada pada tahap terbaik. Segala perancangan dan pelaksanaan perlu berjalan seiring demi kejayaan bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan Wanita UMNO terletak pada kesatuan, keikhlasan dan semangat kebersamaan dalam berjuang, sambil menyerahkan sepenuh usaha dan tawakal kepada Allah SWT.
Seusai perjumpaan PR10 yang berlangsung di Balairaya, Norshida bersama kepimpinan Wanita UMNO Segamat berkesempatan menziarahi beberapa buah rumah di sekitar kawasan berkenaan.
Dalam kunjungan tersebut, mereka bertanya khabar serta mendoakan agar semua yang diziarahi sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan kehidupan.
“Program ziarah ini turut menjadi medium mendekati rakyat serta memahami denyut nadi dan keperluan masyarakat setempat.
Alhamdulillah, keseluruhan program berjalan dengan lancar dan penuh keberkatan.”
Dalam perkembangan lain, Norshida turut bersama beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menziarahi kediaman ibu mertua Cikgu Asmadi di Jementah bagi menyampaikan ucapan takziah atas pemergian bapa mertuanya baru-baru ini.
Lebih memilukan, Cikgu Asmadi juga sedang berdepan ujian berat apabila ibunya di Kelantan turut meninggal dunia akibat kebakaran.

Ujarnya, ziarah tersebut diadakan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada keluarga yang sedang diuji, di samping mendoakan agar mereka diberikan kekuatan, ketabahan serta reda dalam menghadapi dugaan ini.
Turut serta dalam ziarah berkenaan ialah Dr Khairi, Pengerusi Zon Utara APM. “Kehadiran ini mencerminkan semangat kebersamaan dan solidariti dalam membantu serta menyokong antara satu sama lain ketika senang mahupun susah.
“Kami di APM dan Wanita UMNO sentiasa bersama rakyat, saling menyokong dan menguatkan antara satu sama lain,” ujar beliau.
Ujarnya, usaha berterusan ini membuktikan komitmen Wanita UMNO Segamat bukan sahaja dalam memperkukuh gerak kerja parti, malah dalam menyantuni rakyat serta memupuk nilai kemanusiaan dan kebersamaan dalam masyarakat. – UMNO Online
