ADUN Jeram Padang Sokong Pendirian Tegas Presiden UMNO Tolak Amalan ‘Tebuk Atap’
JEMPOL, 7 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menolak sebarang amalan politik tidak beretika termasuk ‘tebuk atap’ yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik negara.
Menurut beliau, pendirian tersebut selari dengan prinsip dan perjuangan UMNO serta BN yang sejak awal penubuhannya tidak pernah menyokong sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik negara.
“UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah mengamalkan politik ‘tebuk atap’. Kita mahukan kestabilan kerana kestabilan politik adalah asas utama kepada pembangunan dan kemajuan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata, BN menegaskan pendirian untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, selaras dengan komitmen yang telah dipersetujui demi memastikan pentadbiran negara dapat berjalan dengan stabil dan berkesan.
Dalam masa yang sama, Mohd Zaidy menegaskan bahawa UMNO sentiasa terbuka dalam perbincangan serta meraikan pandangan daripada semua peringkat parti.
Beliau turut memuji langkah Pemuda UMNO yang menganjurkan konvensyen baru-baru ini sebagai satu pendekatan sihat dalam memperkukuh demokrasi dalaman parti.
“UMNO menghargai keterbukaan Pemuda UMNO yang berani menyuarakan pandangan dan cadangan melalui konvensyen tersebut. Ini membuktikan parti ini hidup dengan budaya perbincangan dan pertukaran idea,” ujarnya.
Namun tegas beliau, sebarang keputusan parti akan dilaksanakan secara konsensus dan berpaksikan kepentingan rakyat serta masa depan negara, bukan didorong oleh tekanan atau sentimen jangka pendek.
“Setiap keputusan yang dibuat akan mengambil kira suara semua pihak dan dilaksana secara konsensus demi rakyat dan masa depan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata amalan lompat parti atau percubaan menjatuhkan kerajaan melalui jalan belakang hanya akan memberi kesan negatif kepada keyakinan pelabur, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Beliau turut memuji ketegasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang konsisten mempertahankan pendirian parti dalam soal integriti politik dan tadbir urus negara.
“Ketegasan Presiden UMNO ini mencerminkan kematangan politik dan kebertanggungjawaban BN sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” tambahnya.
Sehubungan itu, Mohd Zaidy menyeru semua pihak agar menghormati semangat Kerajaan Perpaduan dan menolak sebarang cubaan yang boleh menggugat kestabilan politik negara.
“Politik matang ialah politik yang mendahulukan rakyat. UMNO dan Barisan Nasional akan terus memainkan peranan secara konstruktif demi kestabilan, kemajuan dan masa depan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
