UMNO Kedah Saran Pertimbang Kerjasama Mengikut Realiti, Dinamika Politik Semasa

KUALA LUMPUR, 5 Jan – UMNO Kedah menyarankan agar sebarang pertimbangan berkaitan kerjasama politik masa hadapan mengambil kira realiti dan dinamika semasa.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menerusi satu kenyataan berkata, penganjuran Konvensyen Khas Pergerakan Pemuda UMNO yang berlangsung pada Sabtu hanyalah sebahagian daripada proses dalam hierarki penentuan hala tuju besar parti.

“UMNO Kedah menyambut baik inisiatif Pemuda UMNO Malaysia atas penganjuran Konvensyen Khas yang telah berlangsung pada Sabtu. Penganjuran konvensyen tersebut merupakan satu bukti jelas bahawa UMNO adalah sebuah parti yang terbuka, matang dan bersifat inklusif dalam meraikan pandangan serta perbezaan pendapat dalam kalangan ahlinya.

“UMNO Kedah berpandangan bahawa Konvensyen Pemuda tersebut hanyalah sebahagian daripada proses dalam hierarki penentuan hala tuju besar parti. Ia bukanlah satu-satunya ruang yang mencerminkan pendirian muktamad parti secara keseluruhan.

“UMNO Kedah yakin segala pandangan, input dan saranan dikemukakan telah dan akan diambil kira secara menyeluruh melalui saluran parti yang sah, termasuk di peringkat Biro Politik, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dalam menentukan sebarang keputusan besar parti,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok turut menyeru agar rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan untuk bertenang, berdisiplin dan terus merujuk kepada pimpinan masing-masing untuk sebarang tindakan atau pendirian seterusnya.

“Kenyataan-kenyataan yang bersifat terburu-buru, ‘me-liar’ atau semberono hanya berpotensi mencetuskan kekeliruan, membentuk persepsi negatif dan mewujudkan suasana kurang sihat dalam parti.

“UMNO Kedah menzahirkan keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Presiden parti, Biro Politik dan MKT dalam menentukan hala tuju sebenar UMNO. Sebarang keputusan yang dibuat, walaupun mungkin tidak dilihat sebagai ‘popular’ dalam jangka masa pendek, diyakini terbaik demi kelangsungan, kestabilan dan masa depan parti secara keseluruhan.

“Dalam masa yang sama, UMNO Kedah ingin menyarankan agar sebarang pertimbangan berkaitan pembentukan kerjasama atau koalisi politik pada masa hadapan mengambil kira realiti dan dinamika di peringkat negeri, isu-isu setempat, pembahagian kerusi pilihan raya serta sejarah pengkhianatan politik yang pernah berlaku.

“Pertimbangan yang terlalu berpaksikan sentimen dan populariti semata-mata dilihat tidak mampan, malah berisiko menyerlahkan imej politik oportunis dan tidak konsisten,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa para pemimpin parti akan mengambil kira semua faktor sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

“UMNO Kedah yakin pimpinan parti akan mengambil kira semua faktor dan perkiraan secara menyeluruh, strategik serta tidak bersifat sementara. Keputusan yang bakal diambil bukanlah didorong oleh gelombang emosi jangka pendek atau sentimen tertentu, sebaliknya berteraskan pertimbangan jangka panjang yang lebih matang, berprinsip dan berwawasan demi kekuatan parti serta kepentingan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO