UMNO Beaufort Teguh Bersatu, Ikrar Sokongan Penuh Di PRK Lamag, Kinabatangan
BEAUFORT, 5 Jan – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Beaufort menegaskan pendirian teguh untuk berdiri sebarisan memberikan sokongan penuh dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata seluruh jentera parti di peringkat bahagian, cawangan dan akar umbi telah bersiap siaga serta bersatu hati bagi memperkukuh gerak kerja kempen, berlandaskan semangat perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Menurut beliau, kesepaduan dan komitmen padu yang ditunjukkan oleh UMNO dan BN Beaufort membuktikan iltizam yang tidak berbelah bahagi dalam mempertahankan agenda perjuangan parti, di samping memastikan suara rakyat terus dibela melalui kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti.
“UMNO/BN Beaufort berdiri teguh, bersatu dan komited memberikan sokongan sepenuhnya demi memastikan kemenangan calon BN. Ini adalah tanggungjawab bersama bagi menjamin kesinambungan perjuangan parti yang telah lama berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya.
Beliau menambah, sokongan padu ini bukan sekadar menghadapi pilihan raya, malah sebagai manifestasi kesetiaan dan kepercayaan kepada perjuangan UMNO dan BN dalam mempertahankan kestabilan politik, keharmonian masyarakat serta masa depan generasi akan datang.
Dengan semangat kebersamaan yang kukuh, katanya, UMNO/BN Beaufort optimis untuk melakar kemenangan, sekali gus memperteguh perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi PRK dengan hari penamaan calon pada 10 Januari manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari 2026.
PRK ini diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Terdahulu Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Naim Kurniawan, dipilih sebagai calon bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan memutuskan untuk menggerakkan jentera parti lebih awal di kawasan Parlimen berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin Bekas mengumumkan calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha, diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Lamag. – UMNO Online
