Tindakan Pas Memangsakan Rakyat

MENGAPAKAH pilihan raya diadakan?
Untuk mendapatkan wakil rakyat bagi sesuatu kawasan.

Mengapa perlu wakil rakyat?
Menjadi wakil kepada rakyat dan memberi perkhidmatan kepada mereka serta menyampaikan suara mereka secara rasmi kepada pihak kerajaan dalam sesuatu masalah.

Adakah wakil rakyat penting?
Penting! Sebab itulah dalam sistem kerajaan negara kita diadakan pilihan raya agar ada seorang wakil di kawasan yang digazetkan.

🔵Keadaan sebaliknya berlaku bagi tiga DUN Perlis. Hak rakyat dinafikan akibat daripada sikap ego dan terlalu mementingkan politik kepartian bagi kepimpinan parti Pas. Dalam hendak menunjukkan ketegasan dan kononnya berintegriti, hak rakyat tidak dipedulikan. Hari ini SPR mengesahkan bahawa tidak ada PRK bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji. Ini rentetan daripada tindakan Speaker DUN Perlis yang menarik balik pemakluman kekosongan kerusi-kerusi berkenaan. Pada peringkat awal, pemakluman itu dibuat bagi tujuan PRK diadakan. Entah apa yang mendorong tindakan sedemikian tidak dapat dipastikan. Boleh dikatakan, tindakan awal yang dibuat itu adalah satu tindakan yang boleh disifatkan sebagai gelojoh dan diikuti dengan ego yang tinggi.

🟡Sikap ego inilah yang mengundang beberapa orang kepimpinan Pas terutama di Perlis yang mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua Dewan Ulama Pas Perlis. Ini diikuti pula oleh pengikut-pengikut mereka dengan kecaman yang begitu kasar. Kenapa kenyataan beliau dikecam penyokong sendiri? Tidak lain kerana kerana apa yang beliau nyatakan tidak mengikut kehendak atau selera politik mereka.

🟢Jika sebelum ini, parti-parti politik lain yang menyanggah beberapa kenyataan kepimpinan Pas “bertitle ustaz” telah dianggap tidak menghormati atau menentang ulama. Sedangkan yang disanggah itu sebahagian besarnya bukan berkaitan disiplin ilmu agama yang mereka bawa tetapi tentang perbezaan politik. Mungkin sekarang baru mereka faham tentang perbezaan pandangan ini. Atau pun mereka juga telah bertindak menentang ulama?

🟣Amatlah tidak wajar pertentangan politik sesama mereka menyebabkan rakyat di kawasan berkenaan dijadikan mangsa. Tempoh dua tahun yang sengaja dikosongkan itu adalah satu tempoh yang panjang. Jika berhasrat menghukum ketiga-tiga ADUN berkenaan, terpulanglah kepada parti berkenaan namun jangan sampai membabitkan rakyat. Ini adalah satu tindakan yang cukup tidak bertanggungjawab. Jika tidak mahu mengadakan PRK sekalipun, biarlah kedudukan mereka sebagai ADUN dikekalkan. Terpulanglah, kekal atas tiket parti Pas atau pun jika sudah ‘berpatah arang berkerat rotan’ sekalipun biarlah mereka menjadi ADUN Bebas. Paling penting, ada wakil bagi rakyat.


Ruzaini Rais
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO