Perjuangan Wanita UMNO Sabah Diteruskan, Keputusan PRN Diterima Dengan Hikmah

KOTA KINABALU, 5 Jan – Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris, menegaskan bahawa perjuangan parti tetap diteruskan walaupun menghadapi cabaran dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu telah diterima dengan penuh hikmah.

Dalam mesyuarat Wanita UMNO Sabah baru-baru ini, sesi post-mortem PRN dijalankan secara terbuka dan berhemah untuk menilai kekuatan dan kelemahan gerak kerja parti.

“Keputusan PRN yang lalu kita terima dengan hati yang lapang dan penuh hikmah. Sesungguhnya setiap ketentuan berlaku dengan izin Allah SWT. Namun perjuangan ini tidak pernah terhenti ia perlu diteruskan dengan lebih matang, bersatu dan berstrategi demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Noraini menekankan bahawa segala kekhilafan lalu dijadikan pengajaran untuk memastikan gerak kerja akan datang lebih tersusun dan berkesan.

Mesyuarat itu turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahiran Ketua-Ketua Wanita bagi bulan Oktober, November dan Disember 2025, termasuk kejutan sempena ulang tahun kelahiran beliau sendiri.

Acara dimulakan dengan bacaan doa awal tahun serta Surah Al-Fatihah untuk Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang telah meninggal dunia bulan lalu.

Noraini menegaskan bahawa semangat dan legasi Allahyarham Bung Moktar masih hidup dalam perjuangan parti.

“Kesetiaan beliau menjadi inspirasi bagi semua ahli untuk meneruskan perjuangan dengan lebih matang dan berkesan.”

Ujarnya, mesyuarat itu juga menegaskan pentingnya ukhuwah, silaturahim, dan kesatuan di kalangan ahli Wanita UMNO Sabah sebagai tunjang kekuatan menghadapi cabaran masa depan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO