Mohd Zaidy Iring Mohamad Hasan Ziarah Rakan-rakan Sedang Diuji Kesihatan
SEREMBAN, 5 Jan – Keprihatinan terhadap masyarakat termasuk rakan-taulan menjadi keutamaan bagi para pemimpin UMNO.
Semalam, ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, mengiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, bersama isteri, menziarahi rakan-rakan yang sedang diuji dengan masalah kesihatan di Hospital Tuanku Jaafar.

Ujarnya, kunjungan ini bukan sahaja sebagai tanda prihatin, malah bertujuan memberi sokongan moral dan semangat kepada mereka yang sedang menghadapi cabaran kesihatan.
Antara yang diziarahi ialah Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Seremban, Wan Salwati Abdullah, Asnah Salim dan juga ibu kepada Siti Munirah.
“Saya mendoakan agar semua yang sedang dirawat diberikan kesembuhan yang segera, kesihatan yang baik serta kekuatan buat diri dan keluarga. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan mengurniakan kesejahteraan berpanjangan,” katanya.

Dalam lawatan itu, berita duka turut diterima dengan pemergian mendiang Datuk Jeyadevi.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga beliau,” katanya. – UMNO Online
