Johor Perkukuh Komitmen Digital, Pelaburan Pusat Data Cecah RM29.5 Bilion
JOHOR BAHRU, 5 Jan – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh agenda ekonomi digital apabila Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengadakan pertemuan strategik bersama ByteDance Technology Co., Ltd. sempena lawatan kerja rasmi delegasi Johor ke China.
Onn Hafiz berkata, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh komitmen jangka panjang ByteDance di Johor, selari dengan pelaburan pusat data berskala besar syarikat itu di Malaysia yang dianggarkan melebihi RM29.5 bilion.

“Syukur Alhamdulillah, lawatan kerja saya bersama delegasi Johor ke China diakhiri dengan pertemuan bersama ByteDance, sebuah syarikat teknologi global berteraskan kecerdasan buatan yang menjadi antara peneraju utama ekonomi digital dunia,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Menurut beliau, perbincangan tersebut bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan infrastruktur, malah merangkumi potensi kerjasama fasa seterusnya dalam bidang operasi serantau, kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan ekosistem kandungan digital.
“Pertemuan ini memfokuskan usaha memperkukuh komitmen jangka panjang ByteDance di Johor, di samping meneroka peluang kerjasama baharu yang melangkaui infrastruktur kepada operasi serantau, AI dan pembangunan ekosistem digital,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Johor berhasrat untuk muncul sebagai rakan strategik digital jangka panjang, bukan sekadar lokasi fizikal bagi pembinaan pusat data.
“Saya menegaskan pendirian Kerajaan Negeri bahawa Johor bukan sekadar destinasi infrastruktur, sebaliknya rakan strategik digital yang mampu menyokong operasi berskala besar secara selamat, mampan dan berdaya tahan.”

Onn Hafiz berkata, kedudukan strategik Johor di rantau ASEAN, kos operasi yang kompetitif serta akses langsung ke pasaran serantau menjadikan negeri itu pilihan ideal untuk menyokong pertumbuhan berterusan syarikat teknologi global.
“Dengan kedudukan strategik di ASEAN, kos operasi yang kompetitif serta akses terus ke pasaran serantau, Johor berpotensi besar menyokong pertumbuhan berterusan ByteDance di Asia Tenggara,” katanya.
Tambah beliau, Johor juga bersedia menyokong keperluan teknikal dan sumber manusia berkemahiran tinggi.
“Ini termasuk keperluan pusat data berprestasi tinggi, operasi sokongan platform digital serta pembangunan bakat tempatan dalam bidang teknologi dan ekonomi digital,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pertemuan tersebut sebagai penutup bermakna kepada lawatan rasmi delegasi Johor ke China.
“Insya-Allah, pertemuan ini menjadi penutup bermakna kepada lawatan rasmi di China dan membuka laluan baharu kerjasama strategik yang memposisikan Johor sebagai hab digital serantau yang selamat, mampan dan berdaya saing untuk jangka masa panjang.”
Datuk Onn Hafiz turut menyatakan harapan agar kerjasama strategik ini memberi impak positif kepada negeri dan rakyat Johor.
“Semoga segala usaha ini terus memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi Johor serta kesejahteraan rakyat. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
