Ekonomi Johor Terus Mengukuh, Kutipan Hasil 2025 Tertinggi Dalam Sejarah Negeri
KUALA LUMPUR, 31 Dis – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan kesyukuran dengan pencapaian negeri yang kekal kukuh dan berdaya tahan walaupun berdepan cabaran ekonomi global.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata ia seiring dengan prestasi ekonomi yang terus menunjukkan peningkatan hasil pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
“Seiring dengan pertumbuhan pelaburan dan ekonomi negeri, pengurusan kewangan Johor terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Bagi tahun 2025, negeri Johor telah merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah negeri berjumlah RM2.676 bilion,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu lagi hasil negeri itu dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berfokuskan kesejahteraan, khususnya Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang merangkumi 23 inisiatif.
Katanya melalui BKJ ia memberi manfaat kepada ratusan ribu penerima merentasi anak yatim, pelajar, keluarga B40, warga emas, ibu tunggal serta golongan rentan.
“Inilah prinsip yang sentiasa dipegang oleh kerajaan negeri, bahawa hasil negeri mesti dikembalikan kepada rakyat. Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas segala nasihat, panduan dan tunjuk ajar Tunku kepada patik serta seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam memacu hala tuju dan pentadbiran negeri Johor.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, barisan ADUN, para penjawat awam, jabatan-jabatan, agensi-agensi negeri dan persekutuan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang tahun ini.
“Marilah kita terus berganding bahu, memahami keperluan rakyat, dan memastikan setiap usaha benar-benar dapat meringankan beban serta meningkatkan kualiti hidup seluruh Bangsa Johor. Sama-samalah kita berdoa agar tahun 2026, Johor akan terus dilimpahi rezeki yang bermanfaat dan berkat,” ujar beliau. – UMNO Online
