‘BTS’ Antara Program Bantuan Kasih Johor Di Parit Yaani – Najib

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Hampir RM1 juta diagihkan menerusi Bantuan Kasih Johor di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani melibatkan beberapa kategori termasuk Program Back To School (BTS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri berkata, Bantuan Kasih Johor tersebut turut melibatkan sumbangan kepada anak yatim, selain Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan terlibat.

“Para penerima bakal menerima Bantuan Kasih Johor melibatkan beberapa kategori iaitu Back To School, anak yatim, PIBG, bantuan kepada pekerja pembersihan serta pengawal keselamatan, dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM934,000, hampir mencecah RM1 juta.

“Peruntukan berkenaan akan disempurnakan dan diserahkan kepada penerima mengikut kategori masing-masing khusus bagi kawasan DUN Parit Yaani,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook, hari ini.

Najib seterusnya menambah, sebanyak 20 buah sekolah terlibat dalam penyaluran bantuan tersebut, merangkumi sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), lapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), manakala selebihnya terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK).

“Program Back To School DUN Parit Yaani memberi manfaat kepada 2,000 pelajar dari 20 buah sekolah.

“Kita berharap usaha kecil ini dapat meringankan persiapan persekolahan ibu bapa serta mewujudkan suasana sekolah yang lebih selesa, bersih dan selamat untuk semua,” tambahnya. — UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO