Setiap Keputusan Perlu Ambil Kira Untung Rugi UMNO/BN
KUALA LUMPUR, 30 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berpandangan bahawa kajian sikap pengundi harus dilakukan secara menyeluruh dan bersifat saintifik bagi memahami kecenderungan semasa rakyat dengan lebih tepat.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata pendekatan bersifat sistematik dan berasaskan data adalah penting dalam merangka strategi politik yang realistik dan berkesan, bukannya berdasarkan andaian atau tanggapan semata-mata.
“Sikap pengundi muda, pengundi Melayu, Cina, India dan pengundi bumiputera perlu dikaji secara sistematik, analitik, kualitatif, kuantitatif, kajian rawak di lapangan, bukan main agak-agak sambil meniarap mencatat apa yang terlintas.
“Penelitian terhadap perincian perkara-perkara besar begini wajar diambil kira dengan fikiran yang tenang dan kebijaksanaan yang tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad turut sama menyentuh senario politik negara yang disifatkannya berada dalam bergelora dengan pelbagai isu besar termasuk keputusan mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Razak serta perubahan kepimpinan di Perlis.
Katanya penilaian secara menyeluruh setiap tindakan yang diambil perlu mengambil kira kesan positif dan negatifnya terhadap kerajaan di bawah Barisan Nasional selain mempertimbangkan keperluan kestabilan serta hala tuju masa depan Kerajaan Persekutuan.
“Mari kita renungkan buruk baik, positif negatif sesuatu tindakan yang ingin diambil kepada kerajaan negeri seperti Pahang, Perak dan Negeri Sembilan selain memikirkan syarat-syarat kestabilan dan rupa bentuk masa depan Kerajaan Pusat.
“Selain itu, pembahagian kerusi perlu difikirkan untuk empat siri lepas satu-satu akan berlaku iaitu Pilihan Raya Negeri Melaka, Sarawak, Johor dan Piluhan Raya Umum ke-16 yang pasti ada kesan dengan apa keputusan besar akan diambil.
“Di mana untung UMNO/BN dalam beberapa senario dinamika politik pilihan yang ada?” ujar beliau. – UMNO Online
