Pergolakan Politik Perlis: Prinsip Diketepikan, Kawan Pun Sanggup Dipijak
KUALA LUMPUR, 30 Dis – Episod awal pengkhianatan PPBM terhadap Pas yang mencetuskan pergolakan politik di Perlis sepatutnya membuka mata semua pihak untuk melihat apabila prinsip diketepikan, kawan pun sanggup dipijak.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, Abdullah Zaki Fadzil berkata, perpecahan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Perlis memperlihatkan wajah sebenar mereka yang kononnya dibina atas nama kestabilan dan semangat kemelayuan.

“Perpecahan PN bermula dari bumi Perlis, negeri kecil yang menjadi pentas besar menyingkap wajah sebenar sebuah gabungan yang kononnya dibina atas nama kestabilan dan semangat kemelayuan.
“Di Perlis, kerajaan PN digulingkan oleh rakan gabungan sendiri. Bukan oleh musuh politik… bukan oleh pembangkang, tetapi oleh rakan sekapal yang tamak kuasa dan tidak pernah setia kepada muafakat.
“Inilah episod awal yang sepatutnya membuka mata semua. Apabila prinsip diketepikan, kawan pun sanggup dipijak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menyingkap kembali Muafakat Nasional (MN), beliau menyifatkan kerjasama yang dibina dahulu itu sudah mempunyai kesefahaman, adab berkawan dan hormat sesama rakan.
“MN dahulu sudah elok. Ada kesefahaman, ada adab berkawan, ada hormat sesama rakan. Tetapi dek kerana ‘kelabu mata’ dengan kemewahan, Pas telah membuka pintu kepada PPBM menusuk masuk secara senyap dengan penuh muslihat.
“Kononnya mahu memperkukuh gabungan, rupa-rupanya membawa masuk ‘katak politik’ berlesen. Spesies yang hidup subur ketika ada kuasa dan melompat apabila tiadanya kuasa.
“PPBM bukan parti yang baru dikenali. Sejarahnya jelas sekali. Apabila hilang jawatan, keluar parti. Apabila kecewa, tubuh parti. Apabila tercium bau kuasa, masuk gabungan. Akar umbi? Beberapa puluh orang je setiap bahagian. Cita-cita? Setinggi langit, mahu menuntut jawatan tertinggi negara. Tak ‘kador’ ke diri,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau beranggapan bahawa episod pengkhianatan tersebut akan diulang sekiranya PN diberi peluang yang lebih tinggi di peringkat nasional.
“Dek kerana ‘kelabu mata’ dengan janji kemewahan dan jawatan, mereka sanggup memandang sepi kawan lama yang ikhlas mahu bermuafakat. Prinsip ditukar dengan habuan. Setia digadai demi kuasa sementara.
“Apa yang berlaku di Perlis hanyalah latihan kecil. Jika diberi peluang di peringkat nasional, jangan terkejut jika pengkhianatan diulang malah dipijak lebih kuat. Hari ini kawan, esok lawan. Hari ini muafakat, esok tikam dari belakang.
“Terimalah wahai Pas, pengkhianatan pertama dari PPBM. Ia bukan yang terakhir. Perlis sudah memberi amaran. Sejarah sudah menulis skripnya. Soalnya kini, siapa yang mahu belajar… dan siapa yang masih rela ditipu atas nama kuasa,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
