Muhyiddin Letak Jawatan… Maka Elok Bubar Sahaja PN – Dr Puad
KUALA LUMPUR, 30 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan bahawa lebih baik Perikatan Nasional (PN) dibubarkan susulan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, ia adalah peluang terbaik untuk menamatkan gabungan yang gagal dan tidak lagi relevan.

“Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN. Maka elok bubar sahaja PN. Ini peluang terbaik untuk tamatkan gabungan yang gagal dan tidak lagi relevan. Tidak perlulah Pas fikir siapa calon sesuai untuk ambil alih.
“Lebih baik Pas cari jajaran baharu. Tebuk atap dan tikam belakang seperti di Perlis adalah kemuncak kegagalan PN. Nama pun dah busuk. Sebab itu ‘total loss’ di Sabah.
“Letak jawatan bermakna Muhyiddin tahu dia tidak akan dapat kerjasama dan kepercayaan daripada Pas. Dia juga tahu Pas akan meninggalkan PPBM. Tetapi siapakah teman jajaran baru PAS?” soalnya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Selasa media melaporkan selepas lima tahun memimpin PN, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan itu, berkuat kuasa 1 Januari ini.
Melalui kenyataan media yang dimuat naik menerusi laman Facebooknya, bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan PN atas sokongan kepada beliau sepanjang memimpin gabungan terbabit.
Muhyiddin telah mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan secara rasmi. – UMNO Online
