Fadzli Berharap Majlis Daerah Raub Terus Komited Bersama Tingkat Hasil Pendapatan Negeri
KUALA LUMPUR, 30 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal berharap agar Majlis Daerah Raub akan terus komited dan konsisten dalam memainkan peranan sebagai penyumbang kepada peningkatan hasil pendapatan Negeri Pahang.
Fadzli yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menyampaikan Hadiah Pertandingan Landskap Halaman Cantik dan Anugerah Ejen Jualan Kupon Terbaik Peringkat Daerah Raub Tahun 2025 pada Selasa.

“Hari ini saya telah menyampaikan Hadiah Pertandingan Landskap Halaman Cantik dan Anugerah Ejen Jualan Kupon Terbaik Peringkat Daerah Raub Tahun 2025.
“Penghargaan ini bukan sekadar simbol pengiktirafan, malah dapat dilihat secara nyata melalui keindahan landskap yang menghiasi bandar Raub.
“Usaha berterusan ini turut menyumbang kepada pengiktirafan Raub sebagai bandar kedua paling bahagia di Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada ejen kutipan kupon tempat letak kereta kerana membolehkan Raub menjadi daerah tertinggi memperoleh hasil daripada sumber tersebut.

“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada para ejen kutipan kupon tempat letak kereta yang telah berjaya meletakkan Raub antara daerah tertinggi mencatatkan hasil daripada sumber ini.
“Semoga Majlis Daerah Raub terus komited dan konsisten dalam memperindah landskap bandar, di samping memainkan peranan penting sebagai penyumbang kepada peningkatan hasil pendapatan Negeri Pahang,” katanya lagi. – UMNO Online
