Sebarang Bentuk Kerjasama Politik Perlu Pertimbangan Teliti – UMNO Kedah

SUNGAI PETANI, 29 Dis – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpandangan bahawa sebarang bentuk kerjasama politik perlu diberi pertimbangan teliti dan objektif berdasarkan pengalaman lalu.

Ini kerana katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi dilihat lebih bersifat ingin ‘memancing’ dan mengambil kesempatan di atas perkembangan politik semasa.

Shaiful Hazizy

“UMNO Kedah menyambut baik sebarang usaha memperkukuh ukhuwah dan mengangkat kewibawaan bangsa Melayu serta agama. UMNO Kedah masih percaya akan kepentingan silaturahim dan pergaulan sosial yang sihat tanpa mengira sentimen serta fahaman politik tertentu.

“Namun kenyataan Sanusi perlu dilihat dengan optik yang mendalam dan berbentuk tersurat serta tersirat. Kenyataan Sanusi mengikut laporan media langsung tidak mengalu-alukan sebarang kerjasama intra parti, namun lebih bersifat ingin memancing dan mengambil kesempatan di atas perkembangan politik semasa.

“UMNO Kedah yakin sebarang keputusan politik perlu dinilai secara lebih strategik, tenang dan tidak terburu-buru. Sebarang keputusan politik yang berlandaskan emosi akan mengundang kepada kerapuhan dan bersifat sementara,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, perbincangan secara menyeluruh perlu diadakan sekiranya parti berhasrat untuk mengembalikan Muafakat Nasional baharu.

“Justeru, UMNO Kedah berpandangan sebarang bentuk kerjasama politik harus diberi pertimbangan teliti, objektif berdasarkan pengalaman yang lalu. Ia perlu diperbaharui dengan semangat yang segar dan ‘menang-menang’.

“UMNO Kedah yakin Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terbuka juga mampu membuat penilaian dalam apa jua cadangan dalam kembali mewujudkan pakatan politik demi survival dan kestabilan parti. Namun ahli parti perlu lebih tenang dan perlu menilai sebarang bentuk kerjasama politik dengan lebih objektif serta berdaya tahan.

“Sekiranya ada pun perbincangan untuk mengembalikan Muafakat Nasional (MN) ‘baharu’, ia haruslah bersifat menyeluruh, bertunjangkan perpaduan Melayu tanpa meminggirkan hak-hak kaum lain dan membenarkan perbezaan pandangan yang sihat serta konstruktif.

“UMNO dan BN harus kekal sebagai sebuah ‘koalisi’ yang selesa didampingi serta menjadi asas perlindungan terhadap kaum-kaum lain sejak sekian lama,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan Pas meminta ahli dan penyokong UMNO supaya menghidupkan semula semangat MN sebagai asas perpaduan ummah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, kerjasama antara Pas dan UMNO penting bagi menjamin kestabilan politik negara khususnya di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, Pas sentiasa bersikap terbuka menerima sokongan daripada ahli UMNO yang mahu bersama perjuangan parti itu walaupun mereka masih kekal berorganisasi dalam UMNO. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO