Kecekapan Pengurusan ORACO Pemangkin Peningkatan Sosioekonomi Orang Asli Di Pahang – Ramli
KUALA LUMPUR, 29 Dis – Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Dr. Ramli Mohd Nor bersyukur kejayaan Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) membuktikan bahawa pengurusan ladang-ladang kampung Orang Asli secara terancang dan berdaya maju mampu menjana pulangan yang signifikan kepada komuniti setempat.
Menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu, kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan pengurusan ORACO, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan sosioekonomi masyarakat Orang Asli di Pahang.

“Kejayaan pelaksanaan Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSKOA) oleh pihak ORACO ini boleh dilihat dengan pemberian dividen kepada peserta Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSKOA) Kuala Koyan berjumlah RM1,576,050.00 serta pembayaran dividen kepada peserta Projek TSKOA Dusun Pak Senam sebanyak RM322,249.63.
“Hasil yang dicapai amat memberangsangkan apabila dividen yang dahulunya (sebelum pihak ORACO mengambil alih) hanya sekitar RM33 hingga RM39 sebulan, kini meningkat kepada purata minimum RM900 sebulan malah terus menunjukkan trend peningkatan,” katanya dalam satu catatan di Facebook.
Justeru, beliau berharap agar inisiatif ini terus diperkasa dan menjadi contoh terbaik dalam memastikan pembangunan inklusif serta kesejahteraan berpanjangan kepada komuniti Orang Asli.
Baru-baru ini, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hadir ke majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang khusus buat masyarakat Orang Asli di daerah Lipis dan sekitarnya yang diadakan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan.
Menurut Wan Rosdy dalam satu perkongsian di Facebook, sejak tahun 2023, kerajaan negeri melalui ORACO telah melaksanakan pelbagai program dan projek berimpak tinggi melibatkan aspek infrastruktur, pendidikan, ekonomi serta kesejahteraan sosial, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM37.16 juta di bawah Belanjawan Kerajaan Negeri.
“Ini adalah usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kebajikan, kesejahteraan dan masa depan masyarakat Orang Asli terus dipelihara dan diperkasa secara menyeluruh, selaras dengan prinsip pembangunan yang inklusif dan berteraskan keadilan sosial selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
“Malah pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli sejak tahun 2023, antaranya Program Rumah Rakyat Pahang (RRP) dengan peruntukan keseluruhan RM26.78 juta melibatkan pembinaan 340 unit rumah, Program Pemberian Komputer Riba kepada Pelajar Orang Asli dengan peruntukan RM2.25 juta, serta Program Insentif Perkahwinan Kali Pertama Orang Asli yang diperkenalkan dengan peruntukan sebanyak RM850,000,” katanya lagi. – UMNO ONLINE
