Kampung Salang Terputus Hubungan Telekomunikasi, Fadzli Mohon Pihak Berkuasa Bertindak Tegas
KUALA LUMPUR, 29 Dis – Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal memohon agar Menteri Komunikasi serta pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.
Ini kerana katanya, beliau turut menerima aduan mengenai gangguan perkhidmatan telekomunikasi yang telah berlaku di Kampung Salang, Pulau Tioman sejak 27 Disember 2025.

“Saya ingin mengulas berkenaan siaran media KOSMO bertarikh 27 Disember 2025 dengan tajuk ‘Kampung Salang Pulau Tioman Terputus Hubungan Dengan Dunia Luar’, ekoran gangguan perkhidmatan telekomunikasi sejak 17 Disember 2025.
“Berhubung perkara ini, saya turut menerima aduan daripada pemimpin setempat yang menyatakan kekecewaan, kerana sehingga kini pihak syarikat telekomunikasi (Telco) masih gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk memulihkan semula perkhidmatan selular di Kampung Salang, Pulau Tioman.
“Lebih membimbangkan, cuaca tidak menentu pada masa kini yang sedang melanda beberapa daerah di Pahang termasuk di Rompin, berpotensi memburukkan lagi keadaan, apatah lagi baru-baru ini beberapa lokasi di Pulau Tioman turut dilanda banjir,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong turut menzahirkan kekesalan kerana pihak Telco tidak mengambil tindakan pemulihan segera.
“Saya berasa kesal kerana pihak Telco tidak mengambil tindakan pemulihan dan pembaikan dengan kadar segera sebaik sahaja berlakunya gangguan perkhidmatan selular ini.
“Ini jelas membuktikan bahawa pihak Telco tidak serius, sekaligus menunjukkan kegagalan mereka untuk mengotakan janji bagi menyelesaikan sebarang isu gangguan perkhidmatan dengan kadar segera seperti yang telah dipersetujui semasa Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Telekomunikasi, Pos Dan Kurier Negeri Pahang yang diadakan pada 8 September 2025 tempohari.
“Justeru, saya memohon kepada Menteri Komunikasi dan pihak MCMC untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas berdasarkan kepada perundangan sedia ada,” katanya lagi.

Jelasnya, tindakan tersebut penting untuk memastikan semua syarikat Telco bertindak secara lebih bertanggungjawab bagi menangani isu gangguan perkhidmatan telekomunikasi.
“Tindakan ini penting bagi memastikan semua syarikat Telco bertindak secara lebih bertanggungjawab dan serius dalam menangani isu gangguan perkhidmatan telekomunikasi, termasuk di Pulau Tioman, serta menyelesaikan segera segala permasalahan yang turut dihadapi oleh rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh Pahang.
“Kepentingan dan kebajikan rakyat tidak wajar dipandang ringan, apatah lagi apabila melibatkan akses komunikasi asas yang menjadi keperluan utama dalam aspek keselamatan, ekonomi serta kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi.
Pada Sabtu media melaporkan lebih 100 orang penduduk Kampung Salang di Pulau Tioman hidup dalam keresahan susulan ketiadaan talian telekomunikasi melibatkan talian telefon dan capaian internet. – UMNO Online
