Yeo Bee Yin Jangan Biadab, Drama Politik Murahan Undang Kebencian – Izwan Kamar

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Jempol, Mohd Izwan Kamar Badri, mengecam sekeras-kerasnya Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin atas kenyataan dan sikapnya yang jelas biadab, angkuh dan provokatif terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, seorang pemimpin yang matang tidak menggunakan isu orang lain sebagai pentas politik peribadi, tidak merendahkan rakan, dan tidak bersorak di atas kesusahan pihak lain.

“Tindakan Yeo Bee Yin menunjukkan kurangnya adab, empati dan tanggungjawab politik yang hanya menimbulkan perpecahan, menghakis muafakat, dan mencemarkan etika kepimpinan.

“Hormatilah rakan di dalam Kerajaan Perpaduan, jagalah adab dan hentikan provokasi politik yang melampau dan langsung tidak bertanggungjawab.

“Kelakuan sebegini bukan sahaja memalukan dirinya sendiri, malah menjejaskan imej parti dan kerajaan secara keseluruhan. Jangan jadikan politik alat untuk riak dan riuh rendah, kerana rakyat menuntut kepimpinan matang, bukan drama politik murahan yang hanya mengundang kebencian dan kekecohan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, kata Izuan lagi, setiap tindakan yang bersifat provokasi bukan sahaja menggugat keharmonian masyarakat, malah menjejaskan usaha kerajaan dan rakyat dalam mengekalkan perpaduan.

“Tindakan seperti ini harus dihentikan segera sebelum ia menjadi racun yang merosakkan perpaduan yang sedang dibina dengan susah payah.

“Jika dibiarkan, ia bukan sahaja memecah-belahkan rakyat, malah menunjukkan ketidakmatangan politik, kebiadaban moral, dan keangkuhan yang langsung tidak menghormati usaha bersama.

“Pemimpin sepatutnya menjadi contoh, bukan penyebab perpecahan dan mempermainkan keharmonian demi kepentingan sendiri,” katanya lagi.

Ujarnya, sudah tiba masanya semua pihak harus berhenti bermain dengan politik murahan yang hanya menabur kebencian kepada rakyat.

Terdahulu, Yeo Bee Yin telah menulis di media sosial miliknya yang bertulis “another reason to celebrate this year end” (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) sambil melampirkan pautan berita dari sebuah portal yang bertajuk ‘No house arrest for Najib’.

Hantaran itu dimuat naik selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Kenyataan Bee Yin itu kemudiannya mencetuskan reaksi kurang senang pemimpin UMNO, yang bertindak membidas pemimpin Dap tersebut. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO