Cuti Sekolah: Sri Rahayu Rai Dengan Program Berkhatan Untuk Anak-anak Hilir Perak
PASIR SALAK, 26 Dis – Suasana cuti sekolah dimanfaatkan sepenuhnya apabila seramai 39 orang kanak-kanak menyertai Program Berkhatan yang dirasmikan oleh Ketua Wanita UMNO Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin.
Ujarnya, program anjuran Usahanita Hilir Perak ini sekali gus mencipta kenangan manis dan penuh makna buat peserta serta keluarga malah ia menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendekati masyarakat melalui aktiviti kebajikan.

“Berkhatan bukan sahaja tuntutan agama, malah mempunyai kepentingan besar dari sudut kesihatan dan kebersihan. Lebih penting, ia mendidik anak-anak supaya berani dan bersedia melalui fasa penting dalam kehidupan mereka,” katanya.
Beliau turut memuji semangat dan ketabahan kesemua peserta yang disifatkan sebagai luar biasa.
“Badan mereka mungkin kecil, tetapi semangat dan keberanian yang ditunjukkan sangat besar. Tahniah kepada 39 orang anak-anak hebat ini,” ujarnya.
Menurut beliau, program yang diadakan sempena cuti sekolah ini turut membantu ibu bapa merancang urusan anak-anak dengan lebih selesa, selain mengurangkan kos serta tekanan yang sering dihadapi keluarga.
“Inilah pendekatan prihatin iaitu dilaksana selari dengan keperluan rakyat. Program sebegini bukan sahaja menyantuni masyarakat, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti setempat,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pasukan perubatan, sukarelawan serta jawatankuasa pelaksana yang bertungkus-lumus memastikan program berjalan lancar dan selamat.
“Program berkhatan ini diharapkan dapat diteruskan sebagai agenda tahunan, sejajar dengan hasrat untuk terus menyemai nilai keprihatinan, kebersamaan dan khidmat kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
