UMNO Johor Bahru Kecam Kenyataan Pemimpin Dap, Tidak Sensitif

JOHOR BAHRU, 24 Dis – UMNO Bahagian Johor Bahru mengecam tindakan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin (Dap) yang meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Isnin lalu.

Tegas Ketuanya Datuk Yahya Jaafar, ia merupakan satu tindakan tidak sensitif dan tidak menghormati rakan gabungan.

“Ia turut menunjukkan kegagalan sebahagian pimpinan Dap memahami pendirian UMNO, khususnya apabila melibatkan tokoh besar parti seperti Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan mantan Presiden UMNO.

“UMNO Bahagian Johor Bahru menegaskan bahawa walaupun UMNO menunjukkan kematangan politik demi kestabilan Kerajaan Perpaduan, ia tidak harus ditafsir sebagai kelemahan, apatah lagi dijadikan alasan untuk memperlekehkan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, UMNO Bahagian Johor Bahru mendesak UMNO pusat menilai semula bentuk hubungan dan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan, agar prinsip saling menghormati, keikhlasan serta keseimbangan kuasa institusi negara terus terpelihara.

“UMNO Bahagian Johor Bahru berpendirian tegas bahawa kestabilan negara hanya dapat dicapai melalui penghormatan kepada Perlembagaan, institusi Raja-Raja Melayu dan tata adab politik, bukannya melalui kenyataan provokatif yang merosakkan kepercayaan antara rakan gabungan.

“UMNO Bahagian Johor Bahru komited untuk terus mempertahankan maruah parti, kepimpinan dan institusi Raja Berperlembagaan, serta tidak akan berkompromi terhadap apa-apa tindakan yang mencetuskan kekeliruan mengenai kedudukan kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama jelas Yahya, UMNO Bahagian Johor Bahru melahirkan dukacita dan kekecewaan mendalam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari 2024 berkaitan pelaksanaan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC), mahkamah menolak permohonan mandamus untuk menguatkuasakan Titah Addendum tersebut serta pemindahan Najib dari Penjara Kajang ke kediaman beliau, tanpa sebarang perintah kos.

“UMNO Bahagian Johor Bahru berpandangan keputusan ini amat mengecewakan kerana ia menyentuh kedudukan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Ketua Utama Negara, serta isu asas dalam sistem Raja Berperlembagaan.

“Perkara ini bukan bersifat peribadi, tetapi berkait rapat dengan tafsiran dan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, UMNO Bahagian Johor Bahru menggesa Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) bersidang segera bagi membincangkan implikasi keputusan ini terhadap prinsip Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO Bahagian Johor Bahru turut berpandangan bahawa isu pelaksanaan dan tafsiran kuasa Yang di-Pertuan Agong ini wajar dirujuk ke Majlis Raja-Raja bagi penelitian lanjut, demi menjaga keharmonian institusi Raja-Raja Melayu serta keseimbangan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan Raja Berperlembagaan,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO