Puteri UMNO Kepong Lancar ‘Baju Kita, Rezeki Mereka’, Bantu Pelajar Kurang Berkemampuan

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Kempen ‘Baju Kita, Rezeki Mereka’ dilancarkan sebagai satu inisiatif kebajikan bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan pakaian sekolah yang bersih, selesa dan masih elok digunakan.

Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kepong, Nasaha Jamhary berkata, kempen ini memberi tumpuan kepada membantu golongan sasar termasuk keluarga miskin, anak yatim serta mualaf yang sering berdepan kekangan kewangan dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Katanya, melalui kempen ini pakaian sekolah terpakai yang masih berada dalam keadaan baik akan dikumpulkan hasil sumbangan masyarakat yang prihatin.

“Setiap sumbangan akan disaring dengan teliti sebelum diagihkan kepada golongan sasaran supaya mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin, selesa dan bermaruah.

“Selain memberi manfaat dari sudut kebajikan, kempen tersebut turut menggalakkan amalan kelestarian alam sekitar melalui konsep guna semula dan kitar semula (reuse & recycle), sekali gus membantu mengurangkan pembaziran serta lambakan sisa pakaian.

“Kami percaya dengan sedikit keprihatinan dan usaha bersama masyarakat, beban golongan yang amat memerlukan dapat diringankan. Semoga sumbangan kecil ini menjadi rezeki besar dan membawa sinar harapan kepada mereka yang menerima,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah beliau, objektif utama kempen ini adalah untuk memastikan setiap pelajar mempunyai keperluan asas yang mencukupi bagi menyokong proses pembelajaran yang lebih kondusif dan berkesan.

Mengulas lanjut, kata Nasaha lagi, kempen ini akan berlangsung sehingga 27 Disember 2025, dengan masa dan lokasi pengumpulan seperti yang tertera di dalam poster rasmi kempen.

“Semoga usaha kecil ini menjadi asbab kebaikan dan keberkatan buat kita semua, serta membantu anak-anak sekolah memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan sempurna.

“Para penyumbang memastikan semua pakaian yang disumbangkan berada dalam keadaan bersih, tersusun dan masih boleh digunakan, serta dimasukkan ke dalam kotak tertutup atau plastik yang diikat kemas. Sebarang sumbangan yang rosak atau tidak sesuai tidak akan diterima,” ujar beliau.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan sumbangan boleh menghubungi Asri (012-643 6392) atau Nurul (017-205 0472). – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO