Kerjasama Politik Mesti Berasaskan Muafakat, Saling Menghormati – Hasry Sham

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Exco Pemuda UMNO Malaysia Datuk Hasry Sham Chasemen menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan teras utama kelangsungan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Biro Ekonomi dan Usahawan Muda berkata sebarang tindakan atau tekanan politik yang boleh menggugat keharmonian Kerajaan Perpaduan perlu ditangani dengan serius.

“Kerajaan Madani tidak boleh dijadikan sandera kepada tuntutan mana-mana parti. Kerjasama politik mesti berasaskan muafakat, saling menghormati dan keutamaan kepada kepentingan nasional.

“Satu penilaian semula terhadap kerjasama Kerajaan Perpaduan wajar dipertimbangkan sekiranya terdapat pihak yang tidak lagi komited kepada prinsip keharmonian dan kestabilan politik.

“Dap sudah memberi kata dua kepada Anwar Ibrahim. Apakah pendirian UMNO. Parti ini perlu tampil dengan sikap yang jelas, berprinsip dan berani demi mempertahankan kestabilan negara dan keutuhan Kerajaan Madani,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama, Hasry juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang menjelaskan kegagalan kerajaan menunaikan tuntutan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah dimanipulasi oleh Dap sebagai senjata politik untuk memecah belahkan kerjasama Kerajaan Perpaduan.

“Kegagalan kerajaan mengiktiraf pelaksanaan UEC seperti yang dituntut oleh Dap dilihat telah mencetuskan tekanan berterusan serta gerakan yang berpotensi memecah belahkan kerjasama Kerajaan Perpaduan.

“Hakikatnya, bahawa Dap mendominasi jumlah kerusi Parlimen tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengeluarkan kata dua atau menjadikan isu sensitif sebagai alat tekanan politik,” ujarnya – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO