UMNO Pahang Kecam Kenyataan Biadab Yeo Bee Yin
KUANTAN, 23 Dis – UMNO Pahang mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang secara terbuka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusinya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sikap tersebut bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan keangkuhan politik serta ketandusan adab dan sensitiviti yang menyentuh perasaan banyak pihak terutamanya ahli keluarga Najib serta ahli-ahli UMNO khususnya.

“Keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan pentas sorakan politik murahan. Meraikan keputusan tersebut dengan ejekan dan sindiran merupakan satu perbuatan yang hanya menampakkan ketidakmatangan dan kekeringan nilai seorang wakil rakyat.
“Jika mahu berkawan, berkawanlah dengan adab dan keikhlasan, bukan dengan ejekan kosong yang akhirnya menyebabkan diri yang begitu angkuh tenggelam dalam kesombongannya sendiri,” kata Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu kenyataan di sini.
Jelasnya lagi, UMNO Pahang akan terus berdiri teguh, tidak goyah dan tidak sesekali berundur dalam memberikan sokongan serta meneruskan usaha mencari keadilan buat bekas Perdana Menteri itu. – UMNO ONLINE
