Politik Matang Menuntut Kebijaksanaan, Bukan Ejekan
SUNGAI PETANI, 23 Dis – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menegaskan bahawa politik matang menuntut kebijaksanaan, bukannya ejekan.
Ini kerana katanya, kenyataan yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin terhadap keputusan mahkamah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah bersifat sinis dan dan tidak berempati.

“Saya memandang serius kenyataan yang dimuat naik oleh Yeo Bee Yin, Ahli Parlimen Puchong yang jelas bersifat sinis dan tidak berempati terhadap isu berkaitan keputusan mahkamah baru-baru ini.
“Ungkapan seperti ‘another reason to celebrate this year end’ bukan sahaja tidak sensitif, malah mencerminkan kegagalan memahami bahawa isu keadilan dan undang-undang tidak pernah wajar diraikan sebagai kemenangan politik, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan maruah individu serta institusi negara.
“Lebih mengecewakan, kenyataan tersebut dibuat dalam keadaan masih wujud persoalan berkaitan Titah Addendum yang dirujuk sebagai datang daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong… satu perkara serius yang menyentuh prinsip perlembagaan dan sepatutnya ditangani dengan penuh hormat serta kebijaksanaan, bukan sindiran terbuka,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik tidak menghalalkan sikap memperlekeh nilai kemanusiaan.
“Apa yang dipersoalkan hari ini bukan soal membela individu secara membuta tuli, tetapi soal adab, empati dan penghormatan terhadap proses keadilan serta institusi Raja.
“Saya ingin menegaskan bahawa politik matang menuntut kebijaksanaan, bukan ejekan. Sekiranya budaya mempermainkan penderitaan orang lain terus dinormalisasikan, ia hanya akan merendahkan mutu wacana politik dan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara,” katanya lagi.
Terdahulu, Yeo Bee Yin yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan Dap menerusi satu hantaran di laman Facebooknya dilihat seolah-olah meraikan keputusan mahkamah yang menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada Isnin media melaporkan Najib kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan semakan kehakiman Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu. – UMNO Online
