Pemuda UMNO Selangor Kecam Kenyataan Biadap Pemimpin Dap Berkait Kes Najib

SHAH ALAM, 23 Dis – Pemuda UMNO Selangor mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadap, angkuh dan penuh kebencian yang dikeluarkan oleh pemimpin Dap khususnya Yeo Bee Yin serta Wong Chen daripada PKR yang merupakan Ahli Parlimen di Selangor berhubung kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin menegaskan, kenyataan tersebut jelas mencerminkan sikap tidak beradab, dangkal pemikiran serta keghairahan politik melampau sehingga menjejaskan hubungan serta kestabilan dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan termasuk sanggup seolah-olah memijak prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara.

“Pemuda UMNO Selangor menegaskan bahawa kes ini masih melalui proses undang-undang dan sebarang cubaan untuk mempolitikkan isu ini secara liar adalah perbuatan jahat yang bertujuan meraih keuntungan politik sempit.

“Kepimpinan Dap harus berhenti berselindung di sebalik slogan reformasi, sedangkan hakikatnya pemimpin mereka sendiri merosakkan asas keadilan apabila ia tidak menguntungkan politik mereka.

“Mereka (pemimpin Dap) ini dilihat terus berusaha membentuk persepsi awam dengan kenyataan bersifat prejudis dan menghukum, seolah-olah mereka lebih berkuasa daripada mahkamah dan institusi kehakiman negara. Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah merupakan satu penghinaan terbuka terhadap sistem perundangan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Imran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar berkata Pemuda UMNO Selangor memberi amaran keras kepada kepimpinan Dap agar menghentikan segera kenyataan daripada pemimpin-pemimpin mereka yang berunsur provokasi dan serta merta menarik balik kenyataan biadap tersebut.

“Sekiranya Kepimpinan Dap terus berdegil, rakyat akan menilai siapa sebenarnya yang merosakkan keharmonian dan mencemarkan institusi negara termasuk kestabilan kerajaan.

“Lebih dikesali, sikap biadap pemimpin Dap ini turut mencetuskan ketegangan dan mengapi-apikan sentimen rakyat, sekali gus membuktikan bahawa mereka gagal menjadi sebuah parti yang matang dan bertanggungjawab dalam pentadbiran negara khususnya menjaga kestabilan dan keharmonian dalam pentadbiran.”

Tegasnya, Pemuda UMNO Selangor akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip keadilan, keluhuran Perlembagaan serta maruah institusi negara daripada dicemari politik kebencian yang dicetuskan oleh pemimpin Dap. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO