Malaysia Komited Tangani Situasi Terkini Sempadan Kemboja-Thailand
KUALA LUMPUR, 23 Dis – Malaysia terus komited dalam menangani situasi terkini di sempadan Kemboja-Thailand berlandaskan prinsip asas ASEAN sejak ditubuhkan pada 1967.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklum beliau telah mempengerusikan Special ASEAN Foreign Ministers’ Meeting on The Current Situation Between Cambodia and Thailand pada Isnin.

“Mempengerusikan Special ASEAN Foreign Ministers’ Meeting on The Current Situation Between Cambodia and Thailand bertempat di Grand Hyatt Kuala Lumpur.
“Mesyuarat ini merupakan komitmen berterusan ASEAN dalam menangani situasi terkini di sempadan Kemboja–Thailand, berlandaskan prinsip asas ASEAN sejak penubuhannya pada 1967.
“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menzahirkan keprihatinan terhadap kesan konflik ke atas orang awam serta menggesa pelaksanaan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata dan Perjanjian Damai Kuala Lumpur,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kemanusiaan kepada Sri Lanka yang dilanda Taufan Ditwah baru-baru ini.

“Menyampaikan sumbangan kemanusiaan Malaysia kepada Sri Lanka susulan kesan Taufan Ditwah yang melanda negara tersebut baru-baru ini.
“Sumbangan telah disampaikan kepada Mohamed Ismail Mohamed Rizvi, Chargé d’Affaires, Suruhanjaya Tinggi Republik Demokratik Sosialis Sri Lanka di Kuala Lumpur,” katanya lagi. – UMNO Online
