Kuasa Prerogatif Agong Dipersoal Secara Terbuka, Diraikan Tanpa Rasa Hormat
KUALA LUMPUR, 23 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Johan Abd Aziz membidas tindakan hantaran pemimpin Dap di media sosial yang mencetuskan polemik pada semalam.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata ini kerana Dap ketika mahu membentuk Kerajaan Perpaduan dahulu menggunakan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai asas legitimasi, namun kini memperkecilkan institusi sama.
“Biadab, waktu mahu menubuhkan kerajaan, Dap menggunakan Titah YDPA. Apabila keputusan tidak memihak, Titah yang sama diperkecil dan diraikan pula?
“Hantaran biadab yang dibuat oleh Ahli Parlimen Dap berhubung satu keputusan mahkamah yang menjadi pertama dalam sejarah apabila kuasa pengampunan Raja-raja Melayu; satu-satunya kuasa prerogatif yang termaktub dalam Perlembagaan dipersoalkan secara terbuka dan diraikan tanpa rasa hormat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut kata Johan tindakan tersebut juga memperlihatkan wajah sebenar Dap yang semakin terpisah daripada nilai adab dan sensitiviti.
“Tindakan ini mengesahkan kebimbangan rakyat bahawa Dap gagal menghormati asas Raja Berperlembagaan serta terus melihat isu kenegaraan melalui lensa politik penuh keangkuhan!
“Isu sebesar ini bukan bahan sindiran atau “celebration”, tetapi perkara serius yang menyentuh kedaulatan Perlembagaan dan institusi Raja-raja Melayu.
“Apabila pimpinan dan wakil rakyat Dap sendiri mempamerkan sikap sebegini, maka jelaslah bahawa masalahnya bukan sekadar individu; ia adalah refleksi parti yang semakin hilang adab, sensitiviti dan rasa hormat terhadap asas kenegaraan negara,” tegas beliau.
Terdahulu Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin pada semalam menulis “another reason to celebrate this year end” (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) sambil melampirkan pautan berita dari sebuah portal yang bertajuk ‘No house arrest for Najib’.
Hantaran itu dimuat naik selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Kenyataan Bee Yin itu kemudiannya mencetuskan reaksi kurang senang pemimpin UMNO, yang bertindak membidas pemimpin Dap tersebut. – UMNO Online
