Kes Penggubahan Wang Haram Pegawai ATM: MINDEF Tunggu Hasil Siasatan

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengambil tindakan seterusnya berhubung dakwaan kes penggubahan wang haram melibatkan pegawai atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MINDEF menghormati sepenuhnya proses undang-undang dan menegaskan komitmen terhadap pematuhan undang-undang serta prinsip keadilan.

“MINDEF mengambil maklum berhubung dakwaan kes pengubahan wang haram yang dilaporkan kepada pihak berkuasa melibatkan seorang pegawai atasan ATM.

“MINDEF menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang akan dilaksana dan dijalankan, serta menegaskan komitmen Kementerian terhadap pematuhan undang-undang dan prinsip keadilan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan atau penghakiman sendiri sehingga siasatan selesai dan dapatan rasmi diumumkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“MINDEF akan menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut atau mengambil tindakan seterusnya, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, seorang aktivis mendakwa bahawa ‘aliran masuk tunai yang besar’ dikesan dalam akaun bank seorang pegawai kanan tentera serta ahli keluarganya.

Dia mendakwa audit forensik terhadap dokumen yang diterimanya mendedahkan kemasukan wang bulanan antara RM50,000 hingga RM60,000.

Dokumen berkenaan juga didakwa menunjukkan pemindahan wang yang lebih besar, mencecah beberapa ratus ribu ringgit, ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai tersebut.

Aktivis itu turut mendakwa dana itu dipindahkan daripada akaun milik syarikat yang memperoleh projek ketenteraan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO