Kebiadapan Politik Tidak Wajar Dalam Kerajaan Perpaduan – Haslinda

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Exco Wanita UMNO, Haslinda Salleh membidas kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang disifatkan sebagai satu bentuk kebiadapan politik dan tidak sepatutnya lahir daripada seorang pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, setiap pemimpin di dalam kerajaan harus menunjukkan contoh teladan yang baik dalam kematangan berpolitik dan bukannya melukai perasaan banyak pihak.

“Kebiadapan tidak boleh dinormalisasi atas nama kebebasan bersuara. Politik memerlukan kematangan, bukan ejekan dan sorakan yang melukai perasaan banyak pihak.

“Walaupun berbeza ideologi dan pendirian, seorang pemimpin wajib menjaga tutur kata dan menghormati rakan dalam kerajaan.

“Sikap seperti ini hanya memperlihatkan keangkuhan peribadi dan merosakkan semangat kerjasama yang menjadi asas kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Haslinda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang menjelaskan perkara sebegitu sewajarnya dielakkan kerana ia mencemarkan nilai kematangan politik antara sesama pemimpin.

“Bersorak atau menzahirkan kegembiraan terhadap keputusan yang melibatkan seorang pemimpin negara yang pernah mentadbir dan berjasa bukan sahaja tidak sensitif, malah mencerminkan kegagalan memahami adab serta etika dalam berpolitik,” katanya lagi.

Terdahulu, Yeo Bee Yin menulis “another reason to celebrate this year end” (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini”) sambil melampirkan pautan berita dari sebuah portal yang bertajuk ‘No house arrest for Najib’.

Hantaran itu dimuat naik selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Kenyataan Bee Yin itu kemudiannya mencetuskan reaksi kurang senang pemimpin UMNO, yang bertindak membidas pemimpin Dap tersebut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO