Jangan Buat Kenyataan Tidak Beradab, Hormati Sensitiviti – Sharif Musa
LAHAD DATU, 23 Dis – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung Datuk Seri Najib Razak sebagai terlalu kasar dan tidak beradab, sekali gus mencerminkan sikap tidak menghormati sensitiviti kaum di Malaysia.
Menurut beliau, dalam sebuah kenyataan, perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi, namun ia tidak seharusnya dizahirkan dengan cara yang biadab serta menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya melibatkan maruah bangsa.

“’Too rude and disrespectful’. Jangan ajar bangsa Melayu untuk bersikap kurang ajar. Jangan ajar orang Melayu supaya tidak menghormati kepelbagaian kaum di Malaysia,” tegas beliau.
Sharif Musa turut menegaskan bahawa walaupun terdapat pihak yang mungkin tidak menghormati Najib secara peribadi, namun sekurang-kurangnya hormatilah beliau sebagai seorang Melayu yang juga mewakili sebahagian besar sentimen masyarakat Melayu di negara ini.
“Jika tidak menghormati diri Datuk Seri Najib Razak, hormatilah bangsa Najib sebagai orang Melayu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang bentuk perayaan atau luahan kegembiraan berkaitan keputusan tertentu tidak seharusnya disertai dengan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat majmuk.
“Jika mahu meraikan apa sahaja kegembiraan, silakan. Tetapi jangan buat kenyataan sebegini kerana ia boleh menimbulkan keadaan ‘batu dan besi yang tenggelam’,” ujarnya.
Dalam nada tegas, Sharif Musa memberi amaran bahawa kenyataan sedemikian berpotensi menggugat keharmonian politik dan kestabilan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Yeo Bee Yin, kenyataan seperti ini ibarat mencipta batu dan besi untuk timbul dari air bagi memusnahkan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin politik agar lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan, menghormati antara satu sama lain serta menjaga keharmonian kaum demi kestabilan negara. – UMNO Online
