Jaga Sensitiviti Dan Emosi Rakyat, Bukan Bersikap Biadab Rai Derita Orang Lain

IPOH, 23 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengecam hantaran dimuat naik oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Datuk Seri Najib Razak.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata kenyataan Setiausaha Publisiti Dap Kebangsaan itu bukan sahaja tidak sensitif, malah memperlihatkan kegagalan pemimpin berkenaan memahami realiti politik dan emosi masyarakat, lebih-lebih lagi melibatkan seorang bekas pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.

“Meskipun semua pihak sewajarnya menjunjung prinsip demokrasi dan menjunjung kedaulatan undang-undang, namun ia bukan alasan untuk mana-mana individu termasuk ahli politik bersikap biadab dengan mengejek meraikan penderitaan orang lain.

“Ketika rakyat mengharapkan kerajaan ini menjadi payung kestabilan dan ketenangan politik, kenyataan pemimpin tersebut hanya memercik api permusuhan sekali gus mengundang prasangka yang mampu menggoncang keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan bahawa politik bukan medan untuk menzahirkan dendam atau meraikan kejatuhan pihak lain, sebaliknya wadah menjunjung tanggungjawab, empati dan kebijaksanaan, bukannya mencipta naratif yang menyimbah minyak ke atas api yang masih membara.

Katanya ini kerana bahawa sensitiviti politik bukan perkara yang patut diremehkan.

“Kenyataan-kenyataan provokatif seperti ini hanya akan mencederakan usaha membina kestabilan politik, mengguris perasaan sebahagian besar rakyat yang percaya dan menghargai jasa pemimpin dan merosakkan kepercayaan awam terhadap kematangan dan adab pemimpin politik.

“UMNO Perak tegas dengan pendirian bahawa perbezaan pandangan politik tidak pernah menghalalkan sikap tidak berperikemanusiaan, dan menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan ejekan atau modal politik murahan,” ujar beliau.

Terdahulu, Yeo Bee Yin pada semalam menulis “another reason to celebrate this year end” (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini”) sambil melampirkan pautan berita dari sebuah portal yang bertajuk ‘No house arrest for Najib’.

Hantaran itu dimuat naik selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Kenyataan Bee Yin itu kemudiannya mencetuskan reaksi kurang senang pemimpin UMNO, yang bertindak membidas pemimpin Dap tersebut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO