DNAA: UMNO Johor Hormati Proses Undang-Undang, Yakin Kepimpinan Presiden Parti
TEBRAU, 23 Dis – UMNO Negeri Johor menghormati proses undang-undang berhubung isu permohonan semakan kehakiman keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.
Menerusi satu kenyataan, beliau menegaskan bahawa UMNO turut menghormati kebebasan dan kewibawaan institusi kehakiman dalam membuat pertimbangan berasaskan undang-undang.

”UMNO Johor mengambil maklum berhubung permohonan semakan kehakiman yang difailkan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Sebagai parti yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang… UMNO menghormati sepenuhnya hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran perundangan yang sah, kebebasan dan kewibawaan institusi kehakiman dalam membuat pertimbangan berasaskan undang-undang.
“Namun begitu, persoalan yang wajar difahami oleh rakyat ialah mengapa selepas hampir tiga tahun keputusan DNAA itu dibuat, barulah timbul usaha untuk mengemukakan semakan kehakiman ketika ini.
“Soalan ini bukan bertujuan mempertikai mahkamah, sebaliknya mencerminkan kegusaran awam terhadap persepsi dan naratif yang cuba dibentuk dalam ruang politik semasa,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, UMNO tidak gentar dengan permohonan semakan kehakiman tersebut dan yakin bahawa Ahmad Zahid telah melalui proses perundangan sewajarnya.
“Hakikatnya, isu ini kembali menjadi perhatian ketika negara sedang menghampiri fasa penting demokrasi, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor pada tahun hadapan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa dalam suasana politik sedemikian, sesetengah pihak mungkin cuba mengaitkan proses undang-undang dengan persepsi politik tertentu terhadap kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“UMNO Johor ingin menegaskan bahawa parti ini tidak gentar dengan permohonan semakan kehakiman tersebut. Kami yakin bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN telah melalui proses perundangan yang sewajarnya. Keputusan DNAA yang diberikan sebelum ini dibuat mengikut peruntukan undang-undang oleh pihak pendakwaan ketika itu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata cubaan untuk membangkitkan persepsi negatif terhadap kepimpinan UMNO tidak akan melemahkan iltizam UMNO Johor untuk kekal fokus kepada agenda memperkukuh parti.
“UMNO akan terus memberi kepercayaan penuh kepada sistem perundangan negara untuk membuat keputusan yang adil tanpa campur tangan mana-mana pihak. Apa yang lebih penting, UMNO dan BN akan kekal fokus kepada agenda memperkukuh parti, membela kepentingan rakyat, memastikan kestabilan politik dan pembangunan negeri Johor termasuk Melaka terus menjadi keutamaan.
“Cubaan untuk membangkitkan persepsi negatif terhadap kepimpinan UMNO tidak akan melemahkan iltizam kami. Sebaliknya, UMNO melihat keyakinan terhadap kepimpinan Ahmad Zahid sebagai kekuatan parti dalam menghadapi cabaran politik mendatang telah menggetarkan beberapa pihak, terutamanya menjelang pilihan raya negeri yang akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan sikap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin adalah keterlaluan apabila menjadikan isu Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai bahan sindiran di media sosial.
“Kalau benar Dap hormat institusi dan semangat Kerajaan Perpaduan, tak perlu tunjuk kelakuan tak sensitif yang langsung tidak jaga perasaan rakan gabungan. Ini bukan soal politik murahan, ini soal adab dan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan.
“Isu berkaitan mahkamah bukan pentas untuk cari ‘likes’, ‘shares’ atau populariti segera. Tapi malangnya, itulah yang kita lihat isu serius dijadikan konten, seolah-olah penderitaan, proses undang-undang dan emosi rakyat boleh dijadikan bahan sindiran politik.
“UMNO Johor nak tanya secara terbuka: kenapa pemimpin Dap begitu galak bercakap soal hormat undang-undang, tapi dalam masa sama sibuk mempermainkan proses yang sedang berjalan? Ini namanya ‘cakap tak serupa bikin’.
“Lebih kelakar, apabila mereka yang talian hayat politiknya semakin tidak relevan, tiba-tiba jadi paling bising. Bila sokongan rakyat semakin menyusut, isu mahkamah dijadikan pelampung untuk kekal timbul,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan rakan gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk tidak merosakkan kerjasama telah dibina.
“Politik macam ni bukan saja murahan, tapi memualkan rakyat. Kalau Dap betul-betul ikhlas mahu mempertahankan Kerajaan Perpaduan, hentikan budaya menyindir, memperlekeh dan bermain api dengan isu sensitif.
“Jangan rosakkan kerjasama hanya kerana mahu kekal relevan di mata segelintir penyokong sendiri. UMNO tak perlu cari populariti murahan. Kami fokus kerja, jaga rakyat dan bina kestabilan. Biarlah rakyat nilai siapa yang matang atau sekadar bising,” katanya lagi. – UMNO Online
