“Jangan Simbah Minyak Pada Api Yang Sedang Marak” – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Dis – “Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak.”

Demikian tegas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu hantaran ringkas di platform Facebook.

Status tersebut dipercayai merujuk hantaran daripada beberapa pemimpin parti lain yang meraikan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung titah adendum, membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Sebaik keputusan tersebut keluar, dalam satu hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin menulis “another reason to celebrate this year end” (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini”) sambil melampirkan pautan berita dari sebuah portal yang bertajuk ‘No house arrest for Najib’.

Status Setiausaha Publisiti Kebangsaan Dap itu ternyata mendapat reaksi yang keras daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii yang berkata ia satu kenyataan yang sangat kurang ajar.

“Ini kenyataan yang sangat kurang ajar!!

“Tunggu waktu orang Melayu bersatu melawan kezaliman dan hasutan kamu,” bidasnya dalam status di Facebook.

Begitu juga maklum balas daripada beberapa Ahli MKT UMNO yang lain, yang turut menempelak Yeo Bee Yin bersikap biadap, kurang ajar dan perlu belajar menghormati orang lain antaranya seperti daripada Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut menyuarakan perasaan tidak puas hati kepada Yeo Bee Yin adalah daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Akmal Saleh, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Pengerusi UMNO Negeri Terengganu Datuk Rozi Mamat. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO