Jangan Jadi ‘Kaduk Naik Junjung’… Dinamika Politik Ada Pada UMNO
KUALA LUMPUR, 22 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan para pemimpin Dap untuk tidak menjadi seperti kata pepatah ‘kaduk naik junjung’.
Ini kerana katanya, tidak wajar untuk meraikan sesuatu yang tidak perlu diraikan apatah lagi apabila ia berhubung keputusan mahkamah mengenai Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kepada pemimpin Dap, jangan jadi ‘kaduk naik junjung’. Apa wajarnya meraikan sesuatu yang bukan untuk diraikan?
“Kata-kata kamu mencerminkan peribadi kamu yang penuh dengan kebencian dan busuk hati kepada UMNO. Dinamika politik ada pada pemimpin UMNO,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan Dap, Yeo Bee Yin menerusi satu hantaran di laman Facebooknya dilihat seolah-olah meraikan keputusan mahkamah yang menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada Isnin media melaporkan Najib kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan semakan kehakiman Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti. – UMNO Online
