‘Beramah Mesra Dengan Rakyat, Terus Berbakti Kepada Komuniti’
KUALA LUMPUR, 22 Dis – Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman meneruskan politik khidmat bakti buat penduduk di kawasan dengan menyantuni rakyat melalui program-program yang dihadiri serta pertemuan secara santai.
Menerusi perkongsian di Facebook, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis berbesar hati menghadiri beberapa kenduri yang diadakan di kawasan.
“Saya menghadiri kenduri sekitar Parlimen Arau. Aktiviti sebegini memberi peluang untuk berjumpa dan beramah mesra dengan penduduk setempat serta terus berbakti kepada komuniti.
“Selain mengeratkan hubungan dan memperkukuh silaturahim, masa bersama penduduk juga digunakan untuk mendengar cerita, berkongsi tawa, dan menikmati suasana mesra bersama orang ramai.
“Semoga setiap pertemuan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, tetapi juga meninggalkan kenangan manis untuk semua yang hadir,” katanya.
Sementara itu beliau juga turut hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kampung Sungai Bakong, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang.
Katanya mesyuarat ini menjadi medan perbincangan isu-isu setempat, penyaluran maklumat serta penyelarasan usaha antara kepimpinan dan komuniti bagi memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara.
“Insya-Allah, komitmen untuk terus berbakti akan diperkukuh melalui kerjasama berpasukan dan pendekatan menyeluruh demi menyokong pembangunan kampung yang mampan serta kesejahteraan masyarakat setempat,” ujar beliau.
Menerusi hantaran berbeza, beliau juga berbesar hati ke Mesyuarat Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Negeri Perlis yang berlangsung dengan lancar dan penuh semangat muafakat.
Menyifatkan mesyuarat tersebut sebagai wadah penting dalam memperkukuh hala tuju persilatan negeri, beliau berkata ia juga menyatukan kepimpinan serta memperkasa peranan silat sebagai warisan budaya dan jati diri masyarakat Perlis.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan untuk memikul amanah sebagai Presiden PESAKA Negeri Perlis.
“Insya-Allah, amanah ini akan digalas dengan penuh tanggungjawab melalui kerjasama semua pihak demi memartabatkan seni silat, melahirkan generasi pesilat berdisiplin serta memastikan kesinambungan warisan persilatan terus terpelihara,” katanya. – UMNO Online
