Banjir Pahang: Wan Rosdy Lakukan Tinjauan Udara, Ingatkan Rakyat Berwaspada

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah melakukan tinjauan udara untuk memantau keadaan semasa banjir di negeri tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau turut mengingatkan rakyat di Negeri Pahang untuk terus berwaspada meskipun keadaan banjir dilihat semakin membaik.

“Saya bersama Datuk Seri Nazri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Pahang melakukan tinjauan udara untuk melihat sendiri keadaan semasa banjir di sekitar Negeri Pahang, khususnya di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko dan terjejas.

“Di kesempatan ini patik merafak sembah dan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah atas perkenan menitahkan patik meninjau keadaan banjir menggunakan helikopter milik Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku.

“Hasil tinjauan ini membolehkan Kerajaan Negeri menilai situasi sebenar di lapangan dan menyelaras tindakan susulan dengan lebih pantas serta berkesan bersama agensi-agensi berkaitan untuk memastikan keselamatan juga kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

“Meskipun keadaan banjir semakin bertambah baik, saya mengingatkan agar rakyat Pahang terus berwaspada kerana kita masih lagi berada dalam Monsun Timur Laut. Kerajaan Negeri Pahang akan terus memantau perkembangan semasa dan komited untuk mengambil segala langkah perlu demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO turut turun ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Bukit Gemuruh dan PPS Masjid Kampung Mengkarak untuk menyantuni mangsa-mangsa banjir terlibat.

“Selesai tinjauan udara, saya kemudiannya ke PPS Kampung Bukit Gemuruh dan Masjid Kampung Mengkarak, Bera untuk menyantuni penduduk yang terjejas akibat banjir.

“Saya berkesempatan bertanya khabar, melihat sendiri keadaan mangsa dan memastikan keperluan asas seperti makanan, kebajikan serta keselesaan penghuni PPS berada pada tahap yang sebaiknya.

“Saya menasihatkan semua sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama. Kerajaan Negeri terus komited akan kebajikan rakyat dan bakal menyalurkan bantuan sewajarnya dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO