Ahmad Zahid ‘Bapa’ Pelajar Tahfiz Negara – Asna Amin

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menyifatkan seluruh pelajar tahfiz di dalam negara bertuah apabila mempunyai seorang ‘Bapa’ yang sentiasa memikirkan nasib, hala tuju dan juga memartabatkan pelajar-pelajar Tahfiz di setiap peringkat umur di seluruh Negara.

Menurutnya, bapa kepada anak-anak Tahfiz tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sangat menyayangi pelajar-pelajar tahfiz di dalam negara.

“Tokoh ini (Ahmad Zahid) sentiasa memikirkan bagaimana untuk menjaga, melahirkan, mengiktiraf serta menambah baik pelajaran Tahfiz sejak dari tadika lagi. Semua tadika Kemas dinaiktaraf dalam ‘Program Pra Tahfiz’ yang diilhamkan oleh beliau.

“Program ini mewajibkan pelajar untuk menghafal surah-surah lazim (Juzuk Amma/Juz 30) sebagai asas. Dengan program Pra-Tahfiz ini, ia mampu mendorong murid menghafal lebih banyak surah termasuk Juzuk 30, melalui modul khusus. Hari ni, anak-anak yang belajar di Tadika Kemas, telah pun berjaya menghafal surah-surah lazim di tadika masing-masing,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Asna yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjelaskan Ahmad Zahid juga telah menaiktarafkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kepada MRSM Ulul Albab.

“Apabila melihat keputusan pelajaran yang lebih baik, maka beliau telah menambah baik seluruh MRSM yang berjumlah 57 buah dinaik taraf menjadi MRSM Ulul Albab. Program Ulul Albab di MRSM ini bukan sekadar sekolah biasa. Ia menawarkan pelbagai bidang seperti kurikulum kebangsaan, kurikulum khas MRSM yang menekankan Sains, Teknologi, Kejuruteraan Matematik (STEM).

“Pembentukan sahsiah dan nilai kepimpinan, termasuk kemahiran berfikir, sahsiah Islamik, dan kemahiran insaniah. Program ini bertujuan melahirkan generasi Ulul Albab, pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berilmu agama, berakhlak mulia, dan mampu menyumbang kepada masyarakat,” katanya lagi.

Tambah Asna lagi, kini permohonan kemasukan ke MRSM sangat kompetitif, contohnya untuk sesi 2025, lebih 93,000 pelajar memohon, tetapi hanya kira-kira 8,909 tempat sahaja ditawarkan.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban berkata, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz di Malaysia diilhamkan oleh Ahmad Zahid.

“Semua pelajar tahfiz di Malaysia mempunyai peluang untuk menggabungkan pengajian tahfiz al-Quran dengan TVET bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai hafazan tetapi juga mempunyai kemahiran teknikal berpasaran tinggi.

“Program TVET Tahfiz dirancang supaya pelajar dapat menghafaz dan memahami Al-Quran sebagai komponen utama. Mempelajari kemahiran praktikal TVET seperti automotif, elektronik, reka bentuk, teknologi maklumat dan banyak lagi.

“Graduan bukan sahaja boleh bekerja dalam dunia kemahiran tetapi juga mempunyai asas ilmu agama yang kuat. Program ini dilihat sebagai cara untuk melahirkan huffaz yang berkemahiran dan kompeten dalam bidang teknikal sekaligus memperkukuh peluang kerjaya di luar bidang agama sahaja. Mengumpulkan seluruh Tahfiz di Malaysia dalam program tahunan beliau,” jelasnya.

Ujarnya, semoga negara yang tercinta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah apabila Al-Quran sentiasa di martabat dan di pelihara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO