Tahniah Kontinjen Malaysia, Anda Kebanggaan Negara
KUALA LUMPUR, 21 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh Kontinjen Malaysia atas kejayaan cemerlang di Sukan SEA Thailand 2025.
Beliau berkata, semangat juang tinggi serta pengorbanan para atlet menjadi inspirasi dan kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah, tahniah saya ucapkan buat seluruh Kontinjen Malaysia atas kejayaan cemerlang di Sukan SEA Thailand 2025!
Malaysia menamatkan temasya kali ini dengan kutipan 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, berada di kedudukan keempat keseluruhan, sekali gus mencatat rekod pungutan emas terbaik sejak 2019 serta berjaya melepasi 200 pingat keseluruhan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para jurulatih serta barisan sokongan yang menjadi tulang belakang kejayaan skuad negara.
“Terima kasih wira dan wirawati negara, serta setinggi penghargaan kepada para jurulatih dan pasukan sokongan.
Semangat juang dan pengorbanan kalian menjadi inspirasi serta kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Well done, guys! You’ve made us proud!” ujar beliau lagi.- UMNO Online
