PRK Kinabatangan: Pengerusi BN Ambil Langkah Berani, Angkat Calon Muda

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat mengambil langkah berani dengan mengangkat calon muda untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kinabatangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, keputusan tersebut mencerminkan komitmen jelas kepimpinan parti untuk membuka ruang kepada generasi muda.

“Keputusan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi peluang kepada Naim Kurniawan Moktar sebagai calon di PRK Parlimen Kinabatangan adalah satu langkah strategik yang berani dan berpandangan jauh.

“Keputusan ini mencerminkan komitmen jelas pemimpin parti untuk membuka ruang kepimpinan kepada generasi muda secara serius, bukan sekadar simbolik.

“Calon yang diketengahkan ini mempunyai reputasi yang baik, visi jelas dan telah lama berkhidmat kepada rakyat di Kinabatangan,” katanya.

Ujarnya, Naim Kurniawan juga mempunyai rekod perkhidmatan, kefahaman terhadap isu setempat dan konsisten turun padang untuk mendekati rakyat di Kinabatangan.

“Rekod perkhidmatan, kefahaman terhadap isu setempat dan konsistensi turun padang menjadikan beliau calon yang berwibawa serta diyakini masyarakat akar umbi.

“Langkah ini juga menjadi bukti nyata bahawa proses rejuvenasi parti sedang berlaku secara berperingkat, tersusun dan semakin berkembang.

“Apabila anak muda diberi kepercayaan di medan sebenar, BN sedang membina masa depan parti yang lebih segar, progresif dan selari dengan aspirasi rakyat hari ini,” katanya lagi.

Pada Sabtu media melaporkan Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN) yang juga Anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Mohd Naim Kurniawan diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.

Perkara berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Mohd Naim menerusi perkongsian di Facebook beliau.

UMNO Sabah sebelum ini telah mengenal pasti empat individu sebagai calon berpotensi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radi yang juga Pengerusi BN Sabah meninggal dunia pada 5 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026 manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari.

Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah 29 November lepas. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO