Pendidikan Tahfiz Perlu Terus Diangkat Dan Diperkasa – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 21 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pendidikan tahfiz perlu terus diangkat dan diperkasakan bagi memastikan generasi penghafaz al-Quran mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara yang diadakan di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk hari ini, yang menghimpunkan pencinta al-Quran dari seluruh negara.
“Alhamdulillah, Masjid Tuminah Hamidi hari ini dipenuhi para pencinta al-Quran dari seluruh pelusuk tanah air. Bahagianya rasa bila melangkah masuk, disambut senyuman tulus anak-anak tahfiz dan para huffaz dalam suasana penuh damai diiringi alunan ayat-ayat suci al-Quran,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Pada majlis berkenaan, beliau turut melancarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) sebagai langkah memperkukuh ekosistem tahfiz agar lebih tersusun, berkualiti dan menjamin masa depan institusi tersebut.
Kemuncak program ialah Bicara Hati Umat bersama Ustaz Prof. Dr Abdul Somad Batubara, yang disifatkan beliau sebagai sesi sarat dengan nasihat dan pengajaran yang menyentuh hati.
“Saya mendoakan agar kecintaan kita kepada al-Quran terus subur dalam diri, keluarga dan masyarakat. Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online
