BKJ Manfaat 339 Veteran ATM, 116 Pesara PDRM Di Parit Yaani – Najib Samuri

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Bantuan Kasih Johor (BKJ) terus menyantuni golongan berjasa apabila seramai 339 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 116 pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima manfaat sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor terhadap kebajikan bekas anggota keselamatan yang telah banyak berbakti kepada negara.

Menurut beliau, BKJ kali ini turut memanfaatkan seramai 190 penerima terdiri daripada Penggerak Masjid dan Surau, Guru Takmir, Guru Al-Quran serta Pegawai Masjid dan Surau di kawasan DUN Parit Yaani.

“Penghargaan khusus turut diberikan kepada Ustaz Safiudin bin Kaprawi selaku Penggerak Masjid dan Surau DUN Parit Yaani atas komitmen dan sumbangan berterusan beliau dalam memperkasakan institusi masjid serta pembangunan sahsiah masyarakat,” katanya.

Tambah Najib, bantuan tersebut merupakan antara inisiatif baharu yang diperkenalkan menerusi Belanjawan Johor 2026, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengiktiraf peranan penting institusi masjid sebagai teras pembinaan masyarakat berakhlak, harmoni dan sejahtera.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, serta Kerajaan Negeri Johor atas komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan pelbagai lapisan masyarakat di negeri itu.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO