UMNO Bahagian Lahad Datu Terus Prihatin, Salurkan Bantuan ‘Saling Mengasihi’

LAHAD DATU, 19 Dis – UMNO Bahagian Lahad Datu terus memperkukuh peranan sebagai platform perjuangan rakyat dengan meneruskan Program Saling Mengasihi yang menyaksikan penyampaian bantuan wang tunai dan bakul makanan kepada 110 orang pemohon terdiri daripada ibu bapa, selain bantuan pendidikan kepada lima pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke universiti.

Ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, program kebajikan berkenaan merupakan manifestasi keprihatinan UMNO terhadap nasib rakyat setempat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan segera dalam menghadapi tekanan kos sara hidup masa kini.

Menurut beliau, walaupun bantuan yang disalurkan adalah terhad, UMNO Bahagian Lahad Datu akan melakukan sebaik mungkin demi memastikan kelangsungan keselesaan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

“Walaupun terhad, kami akan cuba yang terbaik. UMNO adalah platform perjuangan untuk membantu rakyat tanpa mengira latar belakang. Apa yang kami lakukan hari ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan amanah kepada masyarakat,” katanya selepas penyampaian bantuan tersebut di Pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu.

Beliau turut memaklumkan bahawa Parlimen Lahad Datu dianggarkan mempunyai jumlah penduduk sekitar 299,550 orang setakat Oktober 2025, dengan kadar kemiskinan tegar sebanyak 2.4 peratus berdasarkan data yang dibentangkan pada tahun 2025.

Justeru, katanya, usaha berterusan perlu digerakkan bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima pembelaan sewajarnya.

Dalam pada itu, Sharif Musa turut memohon maaf kepada para pemohon yang terpaksa menunggu agak lama sebelum bantuan dapat disalurkan.

“Sekali lagi saya memohon maaf kepada semua pemohon kerana terlambat memberi bantuan ini disebabkan kesibukan saya mencari rezeki. Beribu banyaknya permohonan yang sampai ke pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu. Hari ini, hanya ini yang saya termampu berikan,” ujarnya.

Namun begitu, beliau memberi jaminan bahawa UMNO Bahagian Lahad Datu akan meneruskan usaha membantu mereka yang masih belum menerima sebarang bantuan.

“Insya-Allah, mereka yang belum mendapat bantuan ini, minggu depan nama anda akan dipanggil mengikut giliran,” tambahnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para pemohon yang hadir sendiri ke pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu untuk menerima bantuan tanpa perlu penghantaran ke rumah masing-masing.

“Program Saling Mengasihi ini sebagai antara inisiatif berterusan UMNO Bahagian Lahad Datu dalam mendekati rakyat, selain mengukuhkan hubungan silaturahim antara kepimpinan parti dan masyarakat setempat, selaras dengan semangat perjuangan UMNO yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO