Suhaimi Tegaskan Perjuangan UMNO Tidak Pernah Berhenti Walau Berdepan Cabaran
LIBARAN, 19 Dis – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa perjuangan UMNO, khususnya dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, tidak akan terhenti walau berdepan sebarang cabaran.
Beliau menekankan bahawa setiap langkah yang diambil oleh parti dan ahli-ahlinya bukanlah untuk mengalah, tetapi untuk terus berkhidmat demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.

“Perjuangan UMNO adalah perjuangan yang lahir daripada niat yang benar dan semangat untuk menegakkan amanah kepada rakyat. Setiap perjalanan politik mempunyai fasa dan ujian tersendiri.
“Apa jua keadaan yang dilalui hari ini, ia mengajar kita untuk lebih sabar, lebih rendah hati, dan lebih bijaksana dalam melangkah ke hadapan. Selagi amanah dan tanggungjawab terus terpikul, selagi itulah khidmat dan usaha ini akan diteruskan dengan penuh kesungguhan,” ujar beliau kepada UMNO Online.
Dalam perkembangan politik semasa, Suhaimi turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan Jemaah Menteri yang baharu dilantik dan berharap agar setiap individu yang diberi amanah dapat menjalankan tanggungjawab dengan dedikasi penuh demi kemajuan dan kesejahteraan negara.
“Selamat diucapkan kepada Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Ucapan tahniah juga saya tujukan kepada barisan Timbalan Menteri yang menerima pelantikan baharu,” tambah beliau.

Selain itu, beliau juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para menteri yang telah menamatkan perkhidmatan mereka atas sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Suhaimi menegaskan bahawa barisan kepimpinan Kerajaan yang baharu diharapkan mampu memperkukuh kesinambungan dasar, bekerjasama dalam merealisasikan aspirasi Malaysia yang makmur, stabil, dan sejahtera, demi kesejahteraan rakyat di seluruh negara. – UMNO Online
