Rombakan Kabinet: Keseimbangan Pemimpin, Rakyat Cerminan Masa Hadapan Negara
KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berpandangan bahawa keseimbangan antara pemimpin dan rakyat adalah cerminan masa hadapan.
Ini kerana katanya, rakyat sudah semestinya mahu dengan penjelasan berkenaan lantikan beberapa menteri baharu kabinet yang memegang beberapa portfolio sensitif.

“Sentimen mengenai rombakan kabinet… selain ditangani dengan bijaksana, mungkin rakyat mahu mendengar apakah jawapan dan penerangan mengenai beberapa jawatan yang kini berlegar.
“Kuasa melantik bukan terletak pada rakyat. Tetapi kuasa memilih akan menjadikan Malaysia ke hadapan adalah kuasa rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa suara dan hak rakyat tidak boleh dipandang enteng demi kestabilan politik negara.
“Perlu ada dua fahaman yang selari… ia (persoalan rakyat) tidak boleh dibiarkan tergantung. Keseimbangan antara pemimpin dan rakyat adalah cerminan masa hadapan negara.
“Suara dan hak rakyat jangan sekali dipandang rendah demi kestabilan politik dan kemajuan negara,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pelantikan anggota pentadbiran Kerajaan Madani yang baharu di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.
Pelantikan itu merupakan langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.
Ujarnya, rombakan tersebut dilakukan supaya kabinet dapat bekerja sebagai satu pasukan, menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat. – UMNO Online
