PRK Kinabatangan, Lamag: Semangat Kebersamaan BN Penting Pastikan Kestabilan Politik

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Pergerakan Puteri UMNO berpandangan bahawa semangat kebersamaan antara semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah merupakan faktor penting dalam memastikan kestabilan politik dan kekuatan gabungan.

Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman menerusi satu kenyataan turut mengekalkan kepentingan untuk mengekalkan kesepaduan dan kematangan pendekatan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kinabatangan serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

“Mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan berkaitan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag termasuk kepentingan mengekalkan kesepaduan serta kematangan dalam pendekatan politik di peringkat negeri.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berpandangan bahawa semangat kebersamaan dan kerjasama erat antara semua parti komponen BN di Sabah merupakan faktor penting dalam memastikan kestabilan politik serta kekuatan gabungan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa semangat pejuangan dan keteguhan prinsip Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin kekal menjadi inspirasi untuk meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia turut mengenang jasa dan sumbangan besar Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah banyak mencurahkan bakti dalam memperkukuh UMNO dan Barisan Nasional di Sabah.

“Semangat perjuangan serta keteguhan prinsip beliau kekal menjadi inspirasi dalam usaha memelihara perpaduan dan meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi telah mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Puteri UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah pada 24 Jan 2026.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 10 Jan dan 20 Jan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Menara SPR pada Selasa.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Dis lepas di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.

Pada PRN Sabah Ke-17 yang diadakan 29 Nov lepas, Bung Moktar, 66, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Kerusi DUN Lamag dipertandingkan buat pertama kali semasa PRN ke-16 pada 2020.
Sementara itu, semasa Pilihan Raya Umum Ke-10 iaitu pada November 1999, Bung Moktar memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO