Perjuangan UMNO Terus Diperkukuh Melalui Kesepaduan Jentera Akar Umbi – Mohd Zaidy

JEMPOL, 19 Dis – Perjuangan UMNO di peringkat akar umbi terus diperkukuh melalui kesepaduan, kesetiaan dan komitmen jentera parti yang menjadi tunjang kekuatan sebenar parti.

Menurut ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, usaha memperkukuh silaturahim dan kebersamaan dalam kalangan jentera parti merupakan elemen penting bagi memastikan perjuangan UMNO sentiasa utuh dan berdaya tahan.

Katanya, kesungguhan jentera dalam menggerakkan agenda parti, mendekati rakyat serta mempertahankan asas perjuangan UMNO membuktikan bahawa wadah ini kekal relevan dan terus menjadi pilihan dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

“Program bersama masyarakat dan yang menghimpunkan jentera parti amat bermakna kerana ia menjadi wadah untuk memperkukuh silaturahim, menyemarakkan semangat kebersamaan serta menghargai jasa dan pengorbanan jentera UMNO yang sentiasa komited mempertahankan perjuangan parti di peringkat akar umbi,” katanya.

Semalam, beliau telah menghadiri Program Semarak Kasih Jentera UMNO Bahagian Jempol DUN Bahau yang berlangsung di Batu Kikir dengan disempurnakan oleh EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidy menegaskan bahawa kekuatan UMNO tidak terletak semata-mata kepada kepimpinan, sebaliknya bergantung kepada kesepaduan dan kesetiaan jentera di peringkat cawangan dan bahagian yang sentiasa berada di hadapan dalam menyampaikan mesej perjuangan parti kepada rakyat.

“Jentera UMNO adalah nadi perjuangan parti. Pengorbanan mereka, sama ada dari segi masa, tenaga mahupun komitmen yang tidak pernah luntur, wajar dihargai dan diperkasakan agar semangat perjuangan ini terus subur,” ujarnya.

Jelasnya, kehadiran dan penglibatan semua pihak adalah isyarat jelas bahawa UMNO sentiasa memberi penekanan kepada pengukuhan akar umbi sebagai asas kelangsungan perjuangan parti malah interaksi secara langsung antara pimpinan dan jentera membuka ruang kepada perkongsian pandangan serta penyelarasan gerak kerja yang lebih tersusun dan berkesan.

“Semoga kesepaduan dan semangat kebersamaan yang terjalin melalui wadah ini terus diperkukuhkan demi memastikan perjuangan UMNO kekal relevan dan terus mendapat sokongan rakyat.

“Program ini sekali gus membuktikan bahawa pengukuhan silaturahim dan penghargaan terhadap jentera parti merupakan asas penting dalam memastikan UMNO terus teguh sebagai wadah perjuangan rakyat.”

Dalam masa yang sama, Mohd Zaidy terus mengaktifkan gerak kerja dilapangan termasuk Program Ziarah Kasih di Taman Sri Rompin baru-baru ini bagi mengunjungi masyarakat setempat termasuk rakan-rakannya yang sedang menghadapi masalah kesihatan.

“Ziarah ini bertujuan menyampaikan sokongan moral, mendoakan kesejahteraan serta memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian. Saya amat menghargai keprihatinan dan kerjasama kepimpinan kawasan yang sentiasa peka terhadap keadaan penduduk setempat”

Mohd Zaidy menyatakan bahawa beliau mendoakan agar semua yang diziarahi diberikan kesembuhan, kekuatan dan kesabaran, serta dipermudahkan segala urusan. Beliau turut berharap agar program sebegini dapat terus mengeratkan hubungan silaturahim dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO