Puteri UMNO Komited Selaras Gerak Kerja Menjelang PAU
KUALA LUMPUR, 19 Dis – Pergerakan Puteri UMNO komited untuk menyelaraskan gerak kerja organisasi menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU), kata Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman.
Menerusi satu kenyataan, beliau turut menyifatkan PAU sebagai platform penting untuk terus memperkukuh peranan dan suara wanita muda dalam landskap politik.

“Mesyuarat Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang berlangsung pada Khamis telah membincangkan dan mengambil maklum beberapa perkara.
“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menegaskan komitmen untuk menyelaras gerak kerja organisasi menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) agar dilaksanakan secara teratur, berfokus dan berkesan.
“PAU kali ini turut dilihat sebagai platform penting untuk memperkukuh peranan dan suara wanita muda dalam landskap politik negara secara lebih matang, bertanggungjawab dan konstruktif,” katanya.
Mesyuarat terbabit telah dipengerusikan oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dengan kehadiran barisan kepimpinan Exco termasuk ketua-ketua Puteri UMNO Negeri. Turut mengangkat sumpah sebagai Exco Puteri UMNO baharu ialah Zairani Awang selain diumumkan pelantikan Noratika Awang sebagai Ketua Penerangan Puteri UMNO Sabah.
Terdahulu, PAU yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 29 November telah ditangguhkan ke 14 hingga 17 Januari tahun depan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Untuk rekod, mesyuarat cawangan-cawangan UMNO seluruh negara telah diadakan pada 7 April sehingga 25 Mei manakala mesyuarat bahagian-bahagian UMNO pula dimulakan pada 9 Jun sehingga 27 Julai. – UMNO Online
